Pembelajaran

Apr 8

6 Bacaan min

Phantom Patterns: Apabila Trader Nampak Sesuatu yang Sebenarnya Tidak Wujud

Ada nama untuk keadaan ini – pareidolia. Otak kita cenderung mengenal pasti bentuk yang kita sudah biasa lihat, dalam sesuatu yang sebenarnya tidak mempunyai corak yang jelas. Sebab itulah kita boleh nampak bentuk haiwan pada awan, muka tersenyum pada telur goreng, atau corak head‑and‑shoulders pada carta minyak pada lewat petang Jumaat.

Ini bukan tanda kurang peka atau tidak memberi perhatian. Sebaliknya, itulah cara otak berfungsi secara semula jadi, yang terhasil daripada jutaan tahun evolusi yang melatih manusia untuk mengesan corak di mana-mana, secepat mungkin. Nenek moyang kita yang ternampak harimau di celah bayang-bayang dan terus cabut lari – nyawa terselamat. Dan yang tidak lari pula – tidak akan selamat.

Isu yang timbul adalah dalam pasaran kewangan, mekanisme ini sering memakan diri. Otak kita tidak hanya melihat carta secara pasif. Sebaliknya ia aktif mencari apa yang kita harap akan nampak. Jika anda ingin beli, anda akan nampak isyarat bullish. Jika anda mengambil keputusan untuk jual, anda akan nampak isyarat bearish. Inilah yang dipanggil confirmation bias, dan tidak ada siapa pun yang benar-benar kebal daripadanya di dunia ini – termasuk pengurus dana lindung nilai (hedge fund) yang sudah berpengalaman selama dua puluh tahun.

Realitinya, keadaan ini boleh diterangkan melalui satu eksperimen mudah.

Ambil sahaja mana-mana bahagian carta yang bergerak mendatar, contohnya EUR/USD dalam tempoh dua bulan rawak pada tahun 2025. Kemudian, tunjukkan carta itu kepada dua kumpulan trader.

  • Beritahu kumpulan pertama: “Cari corak head‑and‑shoulders.”

  • Dan untuk kumpulan kedua pula: “Cari corak double bottom.”

Kedua-dua kumpulan ini akan mencari corak yang anda minta. Pada carta yang sama. Ini bermakna interpretasi carta bermula lebih awal daripada apa yang anda fikirkan – tepat ketika anda minta mencari corak tersebut.

Bila Keadaan Menjadi Lebih Berisiko

Phantom patterns tidak muncul secara rawak. Ada situasi tertentu yang membuatkan otak menjadi lebih cenderung untuk “melukis” sesuatu yang sebenarnya tidak wujud.

  • Selepas menanggung beberapa kerugian berturut-turut

Dagangan anda berwarna merah untuk tiga hari berturut-turut. Otak anda ingin menebus semula kerugian dan mula nampak “peluang yang pasti menjadi” dalam setiap candle kedua. Pada saat inilah phantom patterns terasa seperti paling meyakinkan – dan paling berbahaya.

  • Dalam pasaran yang bergerak mendatar (sideway)

Apabila tiada trend, tiada struktur yang jelas, dan harga sekadar bergerak tanpa arah, otak mula bosan. Lalu ia mula membina struktur sendiri daripada keadaan yang berserabut. Flag, triangle, wedge — semua corak ini mudah sahaja “ditemui” dalam pasaran yang bergerak mendatar jika itu yang anda mahu lihat.

  • Selepas analisis daripada orang lain

Yang ini memang sukar kita sedari. Anda melihat cara yang sudah ditanda, lengkap dengan anak panas yang kemas dan ulasan yang penuh meyakinkan. Kemudian anda lihat pada carta yang sama – dan apa yang orang lain tunjukkan tadi terus melekat dalam fikiran dan sukar untuk “dibuang”. Keadaan ini dikenali sebagai “priming” dan kesannya tetap berlaku walaupun anda sebenarnya sedar tentangnya.

Mengapa Kita “Nampak” Apa yang Sebenarnya Tiada?

  1. Keinginan untuk sentiasa betul

Apabila anda membuka posisi beli (long), otak anda mula menapis maklumat. Ia akan mengabaikan candle merah dan mula “melukis” corak bullish flag pada setiap pullback. Sebenarnya, kita tidak melihat apa yang terpapar pada carta – kita hanya nampak apa sahaja yang mengesahkan posisi kita.

  1. Keletihan dan pandangan yang mula “kabur”

Selepas beberapa jam menatap skrin, pergerakan harga mula kelihatan bercelaru. Dalam keadaan ini, otak kita akan beralih kepada mod autopilot dan mula “meletakkan” corak teknikal yang biasa kita kenal pada mana-mana lengkungan harga, walaupun pergerakannya cuma sedikit.

  1. Takut terlepas peluang (FOMO)

Apabila pasaran bergerak dengan agresif dan anda masih belum membuka dagangan, otak kita mula terdesak mencari alasan untuk turut serta. Dan alasan itu pasti dapat dicari: “Tengok tu, itu terang-terang Elliott wave ketiga!” Hakikatnya, ia tidak lebih daripada gangguan biasa dalam pasaran.

Tip Praktikal: Cara Elakkan daripada Menjadi Mangsa Pareidolia

  • Gunakan checklist, bukan ikut naluri

Jangan percaya pada mata anda, sebaliknya percaya pada keadaan anda. Tuliskan 3-4 kriteria yang jelas untuk corak anda. Jika tiada salah satu daripadanya – batalkan dagangan itu. Cara ini boleh menukar proses daripada “melukis dalam kepada” kepada pengesahan dari segi mekanikal.

  • Tukar rangka masa

Jika pada carta 5 minit, corak reversal kelihatan sedang terbentuk, cuba beralih ke jangka masa yang lebih tinggi seperti M15 atau 1H. Kebiasaannya, “corak” yang nampak jelas pada rangka masa kecil sebenarnya cuma satu candlestick biasa yang tidak begitu penting apabila dilihat pada rangka masa lebih besar. Inilah antara cara terbaik untuk membezakan realiti atau sekadar ilusi.

  • Beri ruang untuk carta “tenang” dahulu

Jika anda rasa anda nampak corak, cuba tinggalkan skrin sebentar selama lima minit dan pergi minum air. Apabila anda kembali, lihat semula skrin dengan pandangan yang lebih segar. Jika corak tersebut masih nampak logik, bukannya terbentuk hanya kerana anda mahu lihat, anda boleh pertimbangkannya.

  • Terima hakikat keadaan yang berserabut

Satu perkara yang paling sukar, tetapi juga paling penting ialah untuk menerima kenyataan pada kebanyakan masa, pasaran sebenarnya langsung tidak membentuk corak. Apa yang ada hanyalah pergerakan harga. Keupayaan untuk mengawal diri dan menunggu sehingga detik yang benar-benar “jelas” muncul — itulah yang mendefinasikan berdagang secara profesional.

  • Screenshot yang bebas dari sebarang tanda

Sebelum membuat sebarang entri, ambil screenshot carta yang langsung tidak ditanda – tiada garisan, tiada anak panah, tiada komen. Selepas dagangan ditutup, semak semula: adakah terdapat corak yang muncul tanpa “bantuan” anda? Selepas sebulan membuat pemerhatian sebegini, anda akan memahami keadaan pareidolia diri sendiri jauh lebih mendalam berbanding apa yang anda pelajari selepas bertahun-tahun berdagang.

  • Peraturan instrumen berkaitan

Jika anda nampak corak pada XAU/USD – buka instrumen yang saling berkait, seperti XAG/USD. Jika corak itu benar-benar kuat, aset yang saling berhubung kait dengannya juga biasanya akan menunjukkan corak yang serupa dan mengesahkannya. Jika di sana langsung tiada petanda yang sama, mungkin corak yang anda nampak tadi sebenarnya tidak begitu meyakinkan.

  • Terangkan entri anda dengan jelas

Jika anda sendiri tidak mampu menjelaskan logik di sebalik entri tersebut secara lisan, besar kemungkinan anda sebenarnya tidak nampak satu corak – anda hanya mereka sendiri corak itu. Dengan menerangkan situasi secara lebih jelas, anda dapat menapis gangguan fikiran yang sentiasa berlegar-legar dalam kepala trader, terutamanya trader intraday yang mudah berfikir terlalu mendalam.

Kesimpulan

Otak anda merupakan satu anugerah luar biasa. Namun, ia tidak dibina untuk berdagang. Ia dibina untuk terus bertahan, dan kecenderungan mencari corak dalam keadaan yang berserabut ialah salah satu fungsi asasnya. Kerana itu, aktiviti dagangan bukan satu pertempuran dalam pasaran – sebenarnya ia satu pertarungan dengan ilusi anda sendiri.

Berita baik: kini anda sudah faham perkara ini. Ini bermakna anda sudah tahu cara mengawalnya. Anda tidak perlu melawan otak sendiri – itu sesuatu yang sia-sia. Apa yang perlu dilakukan hanyalah menambah beberapa langkah semakan dalam proses anda, iaitu tindakan yang dapat mengaktifkan pemikiran analitikal ketika naluri mula menguasai diri.