Dalam dunia pelaburan dan dagangan beralgoritma, terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi pergerakan harga aset. Salah satu aspek penting tetapi kurang diberi perhatian adalah dividen indeks, atau secara khususnya, kalendar dividen untuk indeks. Walaupun indeks seperti S&P 500 (US100), DAX (DE40), CAC40 (FR40), dan FTSE 100 (UK100) tidak membayar dividen secara langsung, ia terdiri daripada saham syarikat-syarikat yang membayar dividen, di mana syarikat tersebut mengagihkan keuntungan secara berkala dalam bentuk dividen. Aktiviti korporat ini mempunyai kesan langsung terhadap pergerakan harga indeks, terutamanya pada tarikh-tarikh yang dipanggil ‘dividend cutoff’.

Apa Itu Dividen Indeks dan Dari Manakah Datangnya Jurang Harga?

Apabila sesebuah syarikat mengumumkan pembayaran dividen, harga saham syarikat itu di bursa saham biasanya akan turun sebanyak jumlah amaun dividen yang diumumkan pada hari tersebut dan dikenali sebagai ‘ex-dividend date’. Ia berlaku kerana pada hari tersebut saham didagangkan secara ‘ex-dividend’. Dalam erti kata lain, pembeli yang membeli saham pada atau selepas hari itu tidak lagi layak menerima dividen tersebut. Jumlah dividen yang akan dibayar dianggap telah ‘ditolak’ daripada nilai syarikat tersebut. Situasi ini akan mewujudkan jurang harga (price gap) yang menurun pada carta harga saham.

Prinsip ini turut terpakai pada indeks. Memandangkan indeks merupakan gabungan harga saham yang membentuknya (constituent), apabila satu atau lebih syarikat besar dalam indeks tersebut berstatus ‘ex-dividend’, ia boleh mengakibatkan jurang harga menurun dalam skala kecil, tetapi ketara pada indeks tersebut. Saiz jurang harga ini bergantung kepada berat (peratusan bahagian saham) syarikat dalam indeks dan jumlah dividen yang dibayar.
Sebagai contoh: jika terdapat 10 syarikat dalam S&P 500 yang mewakili kombinasi 8% daripada berat indeks, membayar dividen sebanyak 1% pada hari ‘cutoff’, secara teorinya indeks tersebut akan ‘jatuh’ sekitar ~0.08% disebabkan pembayaran dividen.

Mengapa Anda Perlu Pantau Kalendar Dividen Indeks?

Meramalkan jurang harga dan mengelakkan kesilapan dalam mentafsir pergerakan pasaran

Ramai trader, terutamanya mereka yang masih baru, mungkin tersilap anggap bahawa penurunan harga sesebuah indeks sebagai bermulanya trend bearish. Sebenarnya, situasi itu selalunya hanyalah pelarasan dividen. Bagi mengelakkan isyarat palsu, anda perlu membezakan antara pergerakan harga yang bersifat teknikal dan yang benar-benar didorong oleh sentimen pasaran.

Menganalisis divergence (perbezaan) antara harga futures dan spot

Dagangan niaga hadapan (futures) tidak tertakluk kepada pembayaran dividen, namun elemen dividen tetap diambil kira dalam menentukan harga. Pada hari ‘dividend cutoff’, harga futures mungkin kekal stabil walaupun indeks asas menunjukkan penurunan. Situasi ini penting untuk strategi berasaskan arbitraj dan untuk memahami premium atau diskaun antara aset pendasar (underlying) dan derivatif.

Pengurusan risiko dalam dagangan opsyen dan derivatif

Opsyen (Options) sangat sensitif terhadap jurang harga. Jika anda melakukan dagangan tanpa mengambil kira potensi jurang harga yang berpunca daripada pembayaran dividen, anda mungkin mendapati opsyen anda berada dalam situasi “in the money” atau “out of the money” secara tiba-tiba walaupun tiada perubahan ketara dalam pasaran.

Di Mana Anda Boleh Semak Kalendar Dividen Mengikut Indeks

Beberapa sumber berkredibiliti tinggi yang menerbitkan data agregat

  • Bloomberg dan Reuters — platform profesional yang memaparkan jangkaan pelarasan dividen mengikut indeks dengan tepat.
  • TradingView — bahagian maklumat instrumen, terutamanya untuk adalah indeks futures, selalunya menunjukkan kesan dividen dengan jelas.

Laman web rasmi bursa pertukaran seperti:

  • ICE dan CME untuk indeks AS;
  • Deutsche Börse untuk DAX;
  • Barchart, Investing.com
  • Laman web syarikat broker

Bolehkan Jurang Dividen Digunakan sebagai Isyarat Dagangan?

Sekali imbas, anda mungkin beranggapan jika anda tahu harga indeks akan jatuh sebanyak X mata disebabkan oleh pembayaran dividen, anda boleh membuka posisi jual (short) sebelum hari itu dan raih keuntungan daripada perbezaan harga tersebut. Namun, logik ini tidak tepat atas beberapa faktor:

  • Untuk indeks futures: harga indeks futures akan diselaraskan secara menurun mengikut amaun dividen pada hari ‘ex-dividend’. Pengiraan ini dilakukan bagi mengelakkan peluang membuat keuntungan secara arbitraj dan memastikan harga mencerminkan nilai sebenar aset pendasar. Jika anda memegang posisi beli (long) dalam kontrak futures, anda tidak akan mengalami kerugian yang berpunca daripada perbezaan harga tersebut. Ini kerana broker anda akan ‘mengkreditkan’ amaun dividen (atau melaraskan harga untuk posisi tersebut). Begitu juga jika anda memegang posisi jual, anda perlu ‘membayar’ nilai dividen tersebut.
  • Untuk CFD indeks: Sama seperti futures, broker CFD akan membuat pelarasan. Katakan anda membeli CFD untuk sesebuah indeks dan salah satu syarikat utama dalam indeks tersebut membayar dividen. Dalam situasi ini, anda akan menerima pelarasan dalam akaun anda, biasanya dalam jumlah yang kecil bagi mengimbangi kejatuhan harga CFD yang disebabkan oleh dividen tersebut.
  • Risiko slippage dan kesilapan ketika melaksanakan order — sekiranya anda cuba berdagang lebih awal untuk mengambil kesempatan terhadap jurang harga tersebut, spread yang tinggi dan pelaksanaan order yang tidak tepat berisiko terjadi terutamanya dalam instrumen yang berlikuiditi rendah.

Dalam kata lain, jurang dividen dalam sesebuah indeks atau derivatifnya bukanlah satu pergerakan harga bebas yang boleh dimanfaatkan sesuka hati. Platform pembrokeran dan mekanisme pasaran biasanya telah mengambil kira pembayaran dividen dan melaraskan harga instrumen tersebut bagi mengelakkan peluang arbitraj yang berpunca daripada teknikal. Sekiranya anda cuba mengambil kesempatan terhadap perbezaan harga ini, dagangan anda mungkin berpotensi mengalami kerugian.

Kepentingan Indeks Dividen

Memberi perhatian terhadap kalendar dividen indeks merupakan elemen penting dalam strategi seorang trader atau penganalisis profesional. Ia dapat membantu memahami pergerakan pasaran dengan tepat mengira premium untuk futures, membentuk portfolio yang lebih tersusun dan mengelakkan kesilapan kritikal dalam dagangan.
Gunakannya sebagai rujukan analisis, bukan sebagai isyarat masuk pasaran. Peluang sebenar terletak pada kemampuan memahami konteks pasaran, dan bukannya cuba meramalkan pergerakan teknikal yang sudah pun diambil kira oleh sistem.