Pernahkah anda terkaku memandang skrin apabila dagangan anda terus tenggelam dalam kerugian? Pada saat itu, dalam kepala anda berfikir: “Harga akan patah balik sekarang”, “Pasaran tengah buang likuiditi”, “Aku tak boleh tutup sekarang, tengah sakit hati ni”. Ketika itu anda sebenarnya sedang memasuki keadaan “kaku”.
Isunya bukan kerana anda tidak cukup ilmu. Masalahnya adalah pada waktu itu, badan anda dikawal oleh sistem limbik. Sistem ini langsung tidak peduli strategi anda.
Faktor Pertama – neurobiologi kesakitan: Mengapa tanda “negatif” dalam akaun anda begitu menyakitkan
Kajian MRI mendedahkan satu fakta menarik: apabila seseorang trader mengalami kerugian, bahagian otak yang diaktifkan sewaktu trauma fizikal berlaku akan turut aktif—iaitu anterior insular cortex dan anterior cingulate cortex.
Tanpa anda sedari, menutup dagangan yang rugi terasa seolah-olah mengetuk jari anda dengan tukul besi. Otak anda menganggap kerugian wang sebagai satu ancaman terhadap kelangsungan hidup. Sebab itu mekanisme pertahanan akan terus diaktifkan—penafian (denial). Kita mengabaikan maklumat negatif (angka merah) tanpa kita sedar dan mencari apa-apa petanda positif (rebound pada carta 1 minit) untuk mengelakkan rasa sakit “fizikal” setelah mendapat kerugian.
Faktor Kedua – perangkap enggan menerima kerugian
Pemenang Hadiah Nobel, Daniel Kahneman dan Amos Tversky membuktikan kesakitan yang dirasai apabila kerugian $1,000 adalah dua kali ganda lebih perit berbanding kegembiraan apabila menerima $1,000. Dalam dagangan, perkara ini menyebabkan ketidakseimbangan dalam reaksi trader:
- Apabila kita meraih keuntungan, kita menjadi terlalu berhati-hati terhadap risiko (risk-averse – tutup posisi terlalu cepat semata-mata untuk mengelakkan kehilangan apa yang kita sudah ada).
- Apabila mengalami kerugian, kita menjadi ketagih dengan risiko (risk-addicted – kita mula mengambil risiko lebih tinggi, menambah posisi (average out), dan terus berharap), semata-mata kerana enggan menerima kekalahan.
Kelemahan ini wujud sejak dahulu lagi. Di zaman primitif, kehilangan sumber (makanan) boleh membawa kematian, manakala kejayaan mendapatkan sumber tambahan sekadar dianggap sebagai insentif tambahan. Tetapi dalam konteks pasaran saham, naluri purba ini merugikan anda.
Faktor Ketiga – reaksi kaku
Dalam biologi, terdapat tiga reaksi terhadap stress: Lawan, Lari atau Kaku. Apabila harga bergerak bertentangan dengan jangkaan, anda tidak boleh “lawan” pasaran atau “lari” daripadanya (jika posisi sudah dibuka). Apa yang tinggal hanya reaksi ketiga—kaku. Dalam situasi ini, neocortex (bahagian otak yang rasional) seakan terhenti. Anda akan hilang kemampuan berfikir secara logik. Anda hanya mampu melihat deposit anda susut perlahan-lahan, dan mengharapkan keajaiban yang tidak pasti. Dari segi psikologi, ini disebut sebagai “kaku”.
Mengapa “Harapan” Bukan Emosi, Tetapi Perangkap Kognitif
Apabila posisi mula rugi, otak anda mengaktifkan mekanisme pertahanan yang menipu diri:
- Mengelak daripada membuat keputusan (“selagi aku tak tutup posisi, kerugian masih belum berlaku sebenarnya”).
- Ilusi kawalan (Aku masih boleh buat sesuatu; pasaran bergerak lawan arah sebentar saja).
- Menggantikan kebarangkalian dengan sejarah (“Pasaran pernah jatuh sebelum ni, lepas tu pulih semula, sekarang ni tengah pulih”).
Penting untuk anda fahami bahawa “harapan” dagangan bukan satu keyakinan, tetapi satu bentuk penafian diri.
Mengapa Kekuatan Diri Tidak Berkesan dalam Situasi Ini?
1. Batasan semula jadi biologi: Willpower ialah sumber yang terhad
Willpower (atau kawalan diri) adalah fungsi prefrontal cortex dalam otak. Masalahnya, bahagian pada otak ini memerlukan tenaga yang sangat banyak (glukosa) untuk berfungsi.
Aktiviti berdagang seharian, menganalisis carta serta membuat pelbagai keputusan akan mengurangkan kapasiti willpower anda. Keadaan ini dipanggil ego yang keletihan (depletion). Ketika harga bergerak bertentangan dengan jangkaan dan anda perlu menekan butang tutup, prefrontal cortex mungkin sudah kehabisan tenaga. Pada saat ini, kawalan akan diambil alih oleh amygdala—bahagian primitif dalam otak yang mengawal ketakutan, yang tidak mampu berfikir secara logik, hanya bertindak untuk memastikan kelangsungan hidup.
Tindakan cuba menutup posisi rugi dengan willpower boleh diibaratkan seperti cuba mengangkat beban seberat 200 kg selepas berlari marathon. Tenaga anda sudah benar-benar kering.
2. Percanggahan kognitif: Willpower melindungi perasaan “betul” anda
Willpower sering digunakan bukan untuk mematuhi disiplin, tetapi melindungi ego anda. Apabila anda membuka posisi dagangan, anda mencipta satu hipotesis tentang dunia (sebagai contoh: “Dolar akan naik”). Jika harga jatuh, percanggahan kognitif (cognitive dissonance) mula timbul: kepercayaan anda bercanggah dengan realiti.
Pada ketika itu, willpower mula menjadi beban: ia digunakan untuk mencari alasan untuk “menghalalkan” apa yang anda buat dan yang salah adalah pasaran. Anda menggunakan willpower untuk menahan sakit, bukan menghentikan kerugian.
3. Fokus semakin mengecil
Apabila anda mengalami kerugian mengejut, badan anda melepaskan kortisol dan adrenalin. Hormon ini membuatkan otak anda berada dalam mod “tunnel vision”. Kesedaran atau fokus anda kini dikecilkan kepada satu titik sahaja—angka kerugian berwarna merah di skrin.
Dalam keadaan tekanan mendadak, fungsi kognitif lebih tinggi (termasuk willpower dan perancangan jangka panjang), akan terhenti secara fisiologi. Darah dialihkan dari prefrontal cortex ke otot (bersedia untuk lari atau lawan). Kini anda menjadi seakan orang yang “bodoh” pada saat kerugian besar. Mengharap willpower ketika ini ibarat meminta orang sedang lemas menyelesaikan masalah matematik.
Nasihat praktikal: Fokus bukan pada willpower, tetapi latih disiplin anda.
Cara Perdayakan Naluri Anda: Algoritma Keluar Dagangan Secara Berdisiplin
Memandangkan kita tidak mampu mengubah biologi otak manusia, apa yang perlu diubah adalah persekitaran tempat kita membuat keputusan. Terdapat empat teknik yang boleh membantu anda mengelak daripada terjerat dalam perangkap neurobiologi:
A. Prinsip “masuk berbayar”
Berhenti menganggap stop-loss sebagai kerugian. Anggap ia sebagai kos untuk masuk dagangan. Dalam perniagaan, anda membayar sewa dan gaji—dan itu bukan kerugian, tetapi kos perbelanjaan. Stop-loss adalah kos operasi seorang trader. Jika harga pasaran mengaktifkan stop-loss order anda, itu bermaksud “tiket” anda sudah tamat tempoh dan anda perlu keluar dari pasaran.
B. Peraturan “pelaksana automatik”
Jangan sesekali tetapkan stop-loss hanya “dalam kepala anda”. Sistem limbik anda akan sentiasa memujuk untuk tunggu lagi 5 minit. Gunakan stop-loss order yang sebenar pada server (hard server orders). Stop-loss yang betul adalah:
- ditetapkan sebelum entri,
- dikira berdasarkan struktur bukan kerana tekanan emosi,
- tidak diubah atau dipertikaikan selepas entri.
C. Stop-Loss sementara
Jika harga tidak bergerak seperti jangkaan anda dalam X bar (atau jam), tutup dagangan walaupun stop-loss belum diaktifkan. Posisi yang “terperangkap” ialah racun untuk minda anda. Ia akan menyedut tenaga kognitif anda, walaupun harga kekal tidak berubah.
D. Teknik “penjarakan”
Anggap risiko bukan dalam dolar, tetapi dalam R (unit risiko). Kerugian bernilai $500 kedengaran menyakitkan. Sebaliknya, kerugian “1R” kedengaran tidak lebih daripada statistik. Semakin kurang anda mengaitkan nombor di skrin dengan membeli barang sebenar (telefon baharu, percutian), semakin lemah reaksi insular lobe pada otak. Ramai trader yang memilih untuk membuang “dolar” pada hasil dagangan mereka, dengan hanya mengambil kira poin dan tick.
E. Terima awal kerugian
Trader yang profesional akan berfikir begini: “Aku anggap duit ni dah hangus. Kalau pasaran bagi aku untung, itu bonus.” Pemikiran sebegini dapat mengurangkan tekanan emosi dengan ketara serta mengelak ketakutan terjerat dalam dagangan rugi.
Amalan Praktikal oleh Kahneman dan Tversky: Cara Programkan Semula Pemikiran
Dalam buku bertajuk “Thinking, Fast and Slow”, Daniel Kahneman menerangkan bahawa otak manusia terbahagi kepada dua sistem: Sistem 1 (pantas, intuitif, emosi) dan Sistem 2 (perlahan, logikal, tumpuan dan usaha). Berdagang dengan “Sistem 1” adalah jalan pintas menuju kebankrapan.
Berikut adalah beberapa kaedah khusus berdasarkan teori Kahneman dan Tversky yang dapat membantu anda menutup dagangan rugi tepat pada masanya:
1. Teknik lihat dari luar
Kahneman mendapati kita lebih cenderung “memandang dari dalam”—kita menganggap dagangan yang kita lakukan itu, istimewa.
Tip: Apabila anda sedang mengalami kerugian, tanyakan diri anda, “Kalau aku tengok carta buat kali pertama dan tak ada posisi terbuka, adakah aku akan beli di sini?” Jika jawapannya “tidak”, tutup segera. Tversky menamakan pendekatan ini sebagai “memutuskan kaitan dengan masa lampau”.
2. Mengatasi kesan endowment
Kita cenderung menghargai apa yang sudah dimiliki lebih daripada apa yang kita tiada. Setelah anda membuka dagangan, anda seolah-olah “jatuh cinta” dengannya, dan untuk berpisah dengannya (tutup dengan kerugian) terasa dua kali ganda lebih sukar.
Tip: Gunakan “Ujian Pengganti”. Bayangkan disebabkan oleh isu teknikal, posisi rugi anda tertutup sendiri. Adakah anda akan buka semula dengan harga yang sama? Jika jawapannya tidak, itu bermakna anda hanya mengekalkan posisi terbuka kerana kesan “endowment”.
3. Mengabaikan “perakaunan mental”
Tversky dan Kahneman menerangkan konsep “perakaunan mental”. Kita membuka “akaun” berasingan dalam fikiran bagi setiap transaksi dan seboleh-bolehnya tidak mahu menutup akaun tersebut dengan baki negatif.
Tip: Kumpul dagangan dalam bentuk bersiri. Jangan nilai hasil daripada satu dagangan sahaja. Katakan pada diri anda, “Pelan dagangan saya ada 20 (50, 100) dagangan. Dagangan yang satu ni tak beri kesan pun.” Apabila anda menilai keseluruhan modal (ekuiti) berbanding satu posisi yang “sedang rugi”, kesakitan yang dirasai untuk menebus kerugian jadi berkurangan. Dalam dana lindung nilai (hedge fund), sesuatu strategi biasanya dinilai selepas sekurang-kurangnya 100 dagangan.
4. Melawan falasi “sunk cost”
Ini kecenderungan paling berbahaya: semakin banyak masa dan duit yang telah dilaburkan dalam sesuatu posisi, lebih sukar untuk kita meninggalkannya. Akhirnya kita “menghukum” diri sendiri dengan terus menanggung kerugian, sambil berharap dapat menebus semula kos yang sudah hangus.
Tip: Kahneman mencadangkan kita mengambil keputusan hanya berdasarkan prospek masa akan datang, dengan melupakan sepenuhnya berapa banyak kerugian yang sudah ditanggung. Duit yang hilang tidak akan kembali. Persoalan sebenar adalah, “Kat mana modal aku patut letak untuk 4 jam seterusnya untuk dapatkan hasil terbaik?”
5. Gunakan premortem
Untuk memastikan willpower anda tetap teguh pada saat kritikal, Kahneman mencadangkan penggunaan “Premortem”. Sebelum membuka sesuatu dagangan, bayangkan ia telah pun ditutup dengan stop-loss dan merekodkan kerugian. Tanya diri anda, “Mengapa ia berlaku?” Dengan membayangkan kerugian lebih awal, ia bukan lagi satu kejutan pada otak, dan “Sistem 2” kekal mengawal butang “Tutup”.
Kesimpulan
Aktiviti berdagang bukan sesuatu yang lumrah bagi manusia. Otak manusia tidak berkembang secara evolusi untuk berdagang di pasaran Forex. Untuk menjadi trader profesional, anda perlu berhenti melawan pasaran dan mula melawan biologi diri sendiri.
Ingat, trader profesional bukanlah seseorang yang sentiasa betul, tetapi mereka yang mampu mengakui kesilapan dengan cepat dan tetap berada dalam kawalan diri. Latih minda anda untuk memahami bahawa stop-loss bukanlah satu kekalahan, tetapi perlindungan utama daripada hilang segalanya.