Sejak sekian lamanya Swiss Franc (CHF) telah dianggap sebagai salah satu mata wang paling stabil di dunia. Ia memainkan peranan sebagai instrumen pelindung nilai (safe haven) kepada pelabur semasa ekonomi dan geopolitik tidak stabil. Kestabilan mata wang ini disebabkan beberapa faktor utama yang dimiliki oleh Switzerland dan polisi ekonomi negara tersebut.

Mengapa Swiss Franc Stabil:

1. Polisi neutral dan kestabilan

Negara Switzerland sememangnya dikenali dengan polisi neutral yang mengelakkannya terlibat dalam konflik antarabangsa. Switzerland tidak pernah terlibat dalam peperangan sejak tahun 1815, dan dasar berkecuali yang diamalkan menjadi tunjang kestabilan negara ini dalam dunia yang sentiasa penuh dengan konflik. Pendirian berkecuali ini juga diamalkan dalam sistem kewangannya, yang dianggap sebagai tempat selamat untuk melindungi modal semasa ketidaktentuan pasaran.

2. Ekonomi yang kukuh dan pelbagai

Switzerland memiliki sektor perindustrian yang mantap yang dikenali menghasilkan produk berkualiti tinggi, termasuk perkakas elektrik, farmasi, dan perkhidmatan kewangan. Kepelbagaian ekonomi ini mengurangkan kebergantungan kepada faktor luaran dan menyumbang kepada kestabilan mata wang negara.

3. Inflasi rendah

Sejak sekian lama lagi, Switzerland berjaya mengekalkan kadar inflasi yang rendah. Ia membantu mengekalkan kuasa membeli mata wang franc dan menambah keyakinan pelabur. Nilai franc yang kukuh mengurangkan kos untuk mengimport barangan dan perkhidmatan, terutamanya minyak dan gas asli. Situasi ini membantu dalam mengawal inflasi domestik.

4. Polisi monetari SNB yang konservatif

Bank Pusat Switzerland (SNB)) mengamalkan dasar inflasi rendah dan kadar faedah stabil, sekaligus mengukuhkan keyakinan terhadap franc. Bank pusat tersebut berusaha mengekalkan kadar inflasi tahunan purata lebih rendah berbanding negara lain. Faktor ini menyumbang kepada kestabilan jangka panjang mata wang tersebut.

5. Sektor kewangan yang maju

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa sektor perbankan Switzerland dianggap sebagai salah satu sistem kewangan yang boleh dipercayai di dunia. Antara sebabnya:

  • Pengawalseliaan dan keperluan modal yang ketat (dengan mengekalkan jumlah modal dan likuiditi yang besar, bank-bank Switzerland kekal stabil walaupun semasa krisis. Ketika pasca keruntuhan Credit Suisse pada 2023, Switzerland mampu stabil semula dengan cepat disebabkan sokongan daripada kerajaan dan SNB).

  • Infrastruktur kewangan yang maju (Switzerland memiliki sistem kewangan moden dan akses ke pasaran utama dunia).

  • Tahap kepercayaan yang tinggi (Negara tersebut memberi jaminan perlindungan deposit sehingga CHF100,00).

  • Terdapat kepelbagaian dalam aktiviti perbankan (Bank-bank menawarkan pengurusan kekayaan dan perkhidmatan pelaburan). Negara ini juga merupakan pusat pelaburan pengurusan dana dan ekuiti persendirian).

  • Kerahsiaan dan privasi bank (Bank-bank di Switzerland sememangnya dikenali dengan undang-undang kerahsiaan bank yang ketat. Walaupun sejak tahun 2017, Switzerland telah menyertai piawaian antarabangsa Pertukaran Maklumat Cukai Automatik (AEOI), tahap kerahsiaan bank di sana masih lebih tinggi berbanding kebanyakan negara lain).

Impak Risiko Geopolitik dan Ketidaktentuan Tarif

Dengan pemilihan semula Donald Trump untuk penggal kedua pada 2024 dan rancangan beliau untuk menaikkan tarif pada barangan import, termasuk produk dari China; terdapat kebimbangan terhadap kesan kenaikan tersebut pada ekonomi global dan Switzerland secara khususnya. AS merupakan pasaran eksport terbesar untuk Switzerland, iaitu sekitar 20% daripada jumlah eksport Switzerland. Peningkatan tarif boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi negara tersebut. Isu ini menjadi satu kebimbangan kepada Setiausaha Negara untuk Hal Ekonomi (SECO).

Namun, walaupun dengan kewujudan risiko luaran ini, besar kemungkinan Swiss Franc akan kekal stabil. Sejak sekian lama, mata wang franc kekal kukuh semasa ketidaktentuan global. Ini memandangkan pelabur mencari aset yang selamat. Walaupun ekonomi Switzerland mungkin terkesan dengan tarif baru tersebut, permintaan global terhadap mata wang franc sebagai “safe haven currency” mungkin mengatasi kesan negatif tersebut, seterusnya mengekalkan kestabilannya. Pengerusi Bank Pusat Switzerland, Martin Schlegel menyatakan mata wang franc akan kekal sebagai mata wang selamat untuk pelabur ketika ketidaktentuan dalam pasaran, dan negara itu sudah bersedia untuk menghadapi krisis tersebut.

Mata Wang Safe-Haven yang Lain

Selain daripada Swiss Franc, terdapat beberapa lagi mata wang yang dianggap sebagai safe haven oleh pelabur:

  • Dolar AS (USD)

Walapun AS mengalami isu ekonomi domestik, dolar AS kekal menjadi mata wang simpanan utama dunia. Semasa krisis, pelabur sering mengalihkan dana mereka ke aset berdenominasi dolar seperi bon kerajaan Amerika Syarikat

  • Yen Jepun (JPY)

Yen dianggap sebagai salah satu mata wang paling stabil di Asia. Ia disebabkan oleh kadar simpanan Jepun yang tinggi dan kestabilan ekonomi negara tersebut. Semasa pasaran menjadi tidak menentu, pelabur biasanya akan membeli yen.

  • Euro (EUR)

Walaupun zon Eropah berhadapan dengan isu ekonomi dan politik serantau, EUR kekal menjadi mata wang simpanan kedua paling penting di dunia. Mata wang boleh dianggap sebagai aset selamat semasa ketidaktentuan ekonomi.

  • Dolar Singapura (SGD)

Dolar Singapura menjadi pilihan pelabur, terutamanya di Asia D disebabkan oleh kestabilan ekonomi dan pengawalseliaan kewangan yang ketat.

  • Krone Norway (NOK)

Norway merupakan sebuah negara yang stabil, hutang kerajaan yang rendah dan simpanan sumber semulajadi yang agak meluas. Faktor tersebut menjadi punca mengapa mata wang Krone menjadi pilihan pelabur semasa ketidaktentuan ekonomi berlaku.

Kesimpulan

Ramai pelabur yang mencari mata wang selamat yang berbeza untuk melindungi pelaburan mereka. Swiss Franc sememangnya layak dikenali sebagai antara mata wang selamat terbaik disebabkan faktor kestabilan politik, ekonomi yang kukuh, polisi monetari yang konservatif dan sektor kewangan yang maju. Walaupun risiko geopolitik dan ketidaktentuan tarif berkaitan polisi AS mungkin memberi tekanan kepada ekonomi Switzerland, rekod terdahulu mata wang franc yang mampu bertahan dan menjadi pilihan pelabur menunjukkan mata wang ini akan terus stabil. Dalam masa yang sama juga, pelabur mungkin akan mencari mata wang selamat yang lain seperti dolar AS, yen Jepun, euro, dolar Singapura dan krone Norway untuk mempelbagaikan pegangan pelaburan dalam ketidaktentuan pasaran global.