Ramai trader baru yang lebih fokus mencari “entri sempurna” dalam pasaran. Sebenarnya, tiada satu pun strategi mampu menjamin hasil dagangan 100% menguntungkan. Walaupun analisis yang dilakukan betul-betul mantap, berita yang tidak dijangka atau lonjakan volatiliti boleh membuatkan pasaran bergerak bertentangan dengan jangkaan anda. Di sinilah lindung nilai, atau hedging memainkan peranannya – sebagai salah satu alat pengurusan risiko yang paling kritikal.
Lindung nilai bukanlah satu cara untuk menggandakan keuntungan anda. Ia merupakan satu cara untuk mengelakkan kerugian berlebihan sekiranya pasaran bergerak tidak seperti dirancangkan. Secara mudahnya, ia boleh dianggap sebagai insurans untuk posisi dagangan anda.
Mengapa Lindung Nilai Penting?
1. Volatiliti. Pasaran forex adalah pasaran paling tinggi likuiditi di dunia, dan pergerakan 100 poin boleh berlaku dalam hanya beberapa minit.
2. Berita. Keputusan bank pusat, inflasi atau statistik pasaran buruh mampu mengubah keseimbangan dalam pasaran.
3. Geopolitik. Perang, sekatan, perang dagangan – semua ini mempunyai kesan langsung terhadap pasaran mata wang.
4. Untuk trader profesional, strategi lindung nilai perlu ada dalam sistem pengurusan modal. Ia boleh disamakan dengan tali pinggang keselamatan di kereta: Ia tidak menjamin kemalangan tidak akan berlaku, tetapi peluang untuk terselamat lebih tinggi apabila menggunakannya.
Kaedah Lindung Nilai Asas dalam Forex
Kaedah #1. Lindung nilai melalui mata wang yang saling berkait
Terdapat mata wang di pasaran yang bergerak hampir seiring, atau sebaliknya dalam arah bertentangan. Keadaan ini berpunca daripada ikatan ekonomi, aliran dagangan, dan peranan dolar AS sebagai mata wang rizab global.
Contoh 1. Berkait langsung (EUR/USD dan GBP/USD).
Katakan anda membeli EUR/USD pada 1.1500 untuk 1 lot. Tetapi sentimen pasaran mula menunjukkan reaksi terhadap data laporan yang bakal dikeluarkan. Untuk mengurangkan risiko, anda boleh membuka posisi jual pada GBP/USD dengan volume 0.5 lot.
- Jika dolar mengukuh dengan ketara, kedua-dua posisi akan mengalami kerugian, tetapi dalam jumlah lebih kecil.
- Jika dolar melemah, keuntungan pada euro akan lebih tinggi daripada kerugian yang dialami pada pound.
Contoh 2. Berkait songsang (EUR/USD dan USD/CHF).
Anda membeli EUR/USD, tetapi khuatir dolar mungkin naik dengan ketara. Dalam situasi ini, anda boleh menjual USD/CHF. Jika dolar benar-benar mengukuh, kerugian pada euro akan diimbangi oleh keuntungan pada franc.
Penting: hubung kait ini berubah dari semasa ke semasa. Jadi, kaedah ini berkesan untuk jangka masa pendek atau dalam fasa pasaran yang stabil.
Kaedah #2. Lindung nilai melalui aset komoditi
Terdapat mata wang yang sangat berkait rapat dengan harga komoditi. Mata wang ini dipanggil “mata wang komoditi”:
CAD (Dolar Kanada) – sangat dipengaruhi oleh harga minyak (Kanada ialah negara pengeksport minyak utama).
AUD (Dolar Australia) – secara umumnya sensitif terhadap emas dan komoditi.
NZD (Dolar New Zealand) – bergantung kepada eksport pertanian.
Contoh 3. Lindung nilai melalui minyak dan CAD.
Anda mempunyai posisi beli dalam USD/CAD (bermakna anda jangkakan dolar Kanada akan melemah). Namun, data inventori minyak akan diumumkan tidak lama lagi. Jika harga minyak naik, CAD akan mengukuh dan dagangan anda akan mengalami kerugian. Untuk mengurangkan risiko, anda boleh membuka posisi beli dalam WTI. Dengan cara ini, jika USD/CAD jatuh, sebahagian kerugian akan ditampung oleh keuntungan daripada kenaikan harga minyak.
Kaedah #3. Lindung Nilai menggunakan instrumen opsyen
Opsyen merupakan alat dagangan yang lebih profesional yang terdapat pada platform tukaran seperti CME.
Contoh 4. Beli put opsyen
Anda membeli EUR/USD pada 1.0850, tetapi khuatir sekiranya inflasi yang tidak dijangka berlaku di AS, dolar akan mengukuh dengan ketara. Anda boleh membeli put opsyen dengan strike price 1.0800. Jika euro jatuh di bawah paras ini, kerugian pada dagangan utama akan diimbangi oleh keuntungan yang diraih daripada opsyen tersebut.
Contoh 5. Beli call opsyen
Jika anda mempunyai posisi jual dan khuatir jika euro menaik, anda boleh membeli call opsyen.
Instrumen opsyen berpotensi mengehadkan risiko dengan cekap, tetapi ada harga yang perlu dibayar (secara literalnya!) – anda perlu membayar premium. Sama seperti insurans: ia melibatkan kos, tetapi mampu melindungi anda sekiranya kemalangan berlaku.
Tarikh luput opsyen bergantung secara langsung dengan jenis risiko yang anda ingin lindung nilai. Logiknya adalah seperti berikut:
- Jika anda melindung nilai risiko jangka pendek (cth. penerbitan laporan Non-Farm Payrolls atau mesyuarat FOMC). Beli opsyen dengan tarikh luput yang sangat pendek (dari 1 hari sehingga 1 minggu). Opsyen ini lebih murah daripada opsyen jangka panjang dan masih meliputi tempoh di mana kebarangkalian pergerakan mendadak berlaku adalah paling tinggi. Namun, kelemahan kaedah ini adalah premium yang dibayar akan “hangus” dengan cepat jika pasaran kekal stabil.
- Jika posisi adalah untuk jangka masa sederhana (beberapa minggu). Tempoh luput yang sesuai adalah sekitar 2–4 minggu. Tempoh ini dapat melindungi posisi daripada beberapa peristiwa makroekonomi yang berlaku secara berturutan (cth. CPI + mesyuarat Fed). Kelemahan cara ini adalah harga premium lebih tinggi berbanding opsyen jangka pendek.
- Jika posisi adalah jangka panjang (bulan). Anda memerlukan opsyen dengan tarikh luput 2–3 bulan atau lebih lama. Premium opsyen ini lebih mahal, tetapi anda tidak perlu risau dan boleh mengekalkan posisi walaupun ketika tempoh ketidakpastian lebih tinggi dalam pasaran.
Kaedah #4. Lindung nilai dengan strategi “locking”
Ia merujuk kepada buka posisi bertentangan pada pasangan mata wang yang sama (jika akaun tersebut memiliki hedging mode bukan netting mode). Trader sering menggunakan kaedah ini ketika pasaran berada dalam fasa ketidakpastian, seperti apabila berita berimpak tinggi dijangka berlaku dan trader masih belum bersedia menutup posisi asal).
Contoh 6. Strategi “locking” dalam dagangan
Anda mempunyai posisi beli pada EUR/USD. Kemudian, anda membuka posisi jual dengan saiz volume yang sama, pada mata wang yang sama. Hasilnya, pergerakan harga tidak akan menjejaskan akaun anda. Ini kerana posisi anda telah “dibekukan”. Apabila situasi pasaran lebih jelas, trader boleh menutup salah satu posisi dan teruskan dagangan berdasarkan analisis semasa.
Namun kaedah ini mengundang kritikan: ia tidak mengurangkan risiko, tetapi hanya sekadar menangguhkan kerugian. Walaupun begitu, ia masih berfungsi sebagai alat sementara ketika pasaran berdepan dengan peristiwa berimpak tinggi.
Kesilapan Biasa dalam Lindung Nilai
- Saiz volume yang dilindung nilai terlalu besar. Jika anda lindung nilai 100% posisi dagangan, anda berisiko kehilangan semua keuntungan yang telah diperoleh.
- Mengabaikan kos lindung nilai. Opsyen melibatkan bayaran premium, dan aset komoditi memerlukan margin.
- Strategi tidak jelas. Lindung nilai perlu menjadi sebahagian daripada pelan dagangan, bukan tindakan spontan kerana panik atau khuatir.
- Mengganggap hubung kait antara mata wang bersifat kekal. Hanya kerana euro dan pound bergerak seiring pada hari semalam, ia tidak menjamin pergerakan yang sama pada hari esok.
Kesimpulan
Kaedah lindung nilai merupakan kemahiran mengimbangi risiko dan pulangan. Ia menuntut disiplin dan pemahaman bagaimana aset yang berbeza berhubung kait antara satu sama lain. Namun, apa yang paling penting, ia membolehkan trader melindungi modal pelaburan dan mengekalkan kestabilan psikologi dalam pasaran yang tidak menentu.
Profesional dalam bidang kewangan sememangnya tahu, untuk jangka panjang, apa yang penting bukanlah siapa yang dapat meneka pasaran, tetapi mereka yang tahu bagaimana mengawal kerugian dan menguruskan risiko dengan cekap.