Salah satu syarikat paling berjaya dalam sejarah pasaran awam telah disenaraikan melalui IPO pada tahun ini. SpaceX berjaya meraih $75 bilion dengan penilaian sekitar $1.77 trilion. Syarikat ini menawarkan 555.5 juta saham pada harga $135 seunit. Pada masa yang sama, permintaan terhadap sahamnya empat kali lebih tinggi berbanding bilangan saham dan hampir 30% daripada IPO dikhaskan untuk pelabur runcit.
Namun, selepas beberapa minggu pertama dagangan, sisi gelap detik bersejarah ini sudah mula terserlah: volatiliti.

Keterujaan mula pudar, harga saham kembali ke berhampiran paras IPO, dan terdapat laporan menyatakan hampir $700 bilion nilai pasaran telah lenyap berbanding paras tertinggi selepas IPO. Malah, saham SpaceX jatuh lebih daripada 10% dalam sehari, dan terus menekan pelabur awal.
Persoalannya cukup mudah: adakah ia satu pembetulan harga yang biasa atau permulaan suatu kejatuhan yang lebih besar?
Mengapa situasi jualan besar-besaran ini penting
Harga saham yang menyusut selepas penyenaraian awam merupakan sesuatu yang biasa didengar. Ada pemegang saham yang menjual untuk mengaut keuntungan, terdapat institusi yang mengurangkan pegangan, manakala sebahagian lain mungkin memerlukan masa untuk menilai semula.
Namun, apa yang membuatkan SpaceX ini begitu istimewa sehinggakan situasi sebegitu dianggap sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan? Isunya bukan lagi tentang keterujaan terhadap IPO, namun sama ada SpaceX berupaya membuktikan kemampuannya dan berkembang cukup pantas, setanding dengan status sebagai salah satu penilaian syarikat paling tinggi pernah dicatat dalam sejarah penyenaraian awam.
Ada satu situasi yang bercanggah di sini – SpaceX merupakan antara prospek pertumbuhan jangka panjang terbaik yang ada di pasaran, namun harga sahamnya terlalu tinggi.
Harga saham SpaceX dinilai untuk masa hadapan
Menurut data pasaran, SpaceX berjaya merekodkan $18.7 bilion pendapatan pada 2025 dan dalam masa yang sama, turut mencatatkan kerugian operasi hampir $2.6 bilion. Dengan penilaian kira-kira $1.77 trilion, syarikat ini didagangkan pada nisbah harga kepada jualan sekitar 94.
Ini bermakna pelabur tidak membeli saham SpaceX berdasarkan pendapatan semasa syarikat itu. Sebaliknya, mereka membeli jangkaan pada masa hadapan.
Untuk penilaian ini dianggap munasabah dalam jangka panjang, SpaceX perlu membuktikan kemajuan yang kukuh dalam beberapa perkara:
-
pertumbuhan hasil pendapatan
-
margin keuntungan lebih tinggi
-
operasi Starlink lebih meluas
-
aktiviti pelancaran ke angkasa lepas
-
kontrak kerajaan dan sektor pertahanan
-
Usaha menjana keuntungan berkaitan AI melalui xAI
-
landasan lebih jelas ke arah kebolehuntungan
Jika syarikat ini mampu mencapai sasaran ini, nilai saham yang tinggi mungkin kekal relevan. Jika kemajuan syarikat perlahan atau aspek kebolehuntungan masih tidak jelas, saham syarikat ini berdepan tekanan lebih tinggi.
Prospek pertumbuhan sebenarnya bukan hanya tentang roket
Jangkaan terhadap pertumbuhan pada masa akan datang ini tidak hanya berkisar pada pelancaran roket.
SpaceX mempunyai beberapa mekanisme pertumbuhan yang boleh digerakkan secara serentak. Pertama sekali, Starlink menyediakan akses internet satelit di seluruh dunia, termasuk kawasan terpencil, pelanggan korporat, sektor penerbangan, perkhidmatan maritim, dan kerajaan.
Pelancaran roket merupakan satu lagi aspek penting dalam operasi perniagaan SpaceX. Dalam konteks ini, SpaceX memiliki reputasi tinggi sebagai penyedia pelancaran roket untuk entiti komersial dan juga kerajaan AS, hasil daripada teknologi roket boleh diguna semula dan jadual pelancaran yang aktif.
Perkara ketiga adalah hubung kait SpaceX dengan xAI. Jika usaha ini berjaya diintegrasikan ke dalam ekosistem empayar bisnes Elon Musk, pelabur mungkin terus menilai SpaceX bukan sekadar sebagai syarikat aeroangkasa.
Berdasarkan satu jangkaan yang dilaporkan oleh Yahoo Finance, SpaceX berpotensi meningkatkan pendapatan korporat sehingga $50–80 bilion setahun menjelang 2027 sekiranya trend semasa berterusan. Inilah antara sebab utama mengapa sebahagian pihak melihat jualan besar‑besaran baru‑baru ini sekadar fasa pembetulan harga dalam pasaran, bukannya jatuh merudum.
Namun, pendapatan korporat bukan satu-satunya perkara yang perlu diambil kira dalam situasi ini. Margin keuntungan dan juga kerugian turut memainkan peranan penting.
Penyertaan pelabur runcit berpotensi meningkatkan tahap volatiliti
Hampir 30% daripada IPO diperuntukkan untuk pelabur runcit. Angka ini merupakan elemen penting untuk trader kerana penglibatan besar pelabur runcit boleh menjadikan pergerakan harga dipengaruhi oleh emosi dan agresif.
Saham yang didominasi oleh pelabur runcit sering mengalami pergerakan momentum yang lebih pantas, reaksi lebih kuat terhadap berita utama, gelombang take-profit yang lebih besar, serta volatiliti jangka pendek yang lebih tinggi.

Bagi SpaceX, impak pelabur runcit ini mungkin lebih kuat kerana syarikat ini terikat dengan tiga naratif yang menjadi tumpuan pelabur: Elon Musk, teknologi angkasa lepas, dan AI.
Secara asasnya, ia tidak melemahkan prestasi saham SpaceX, namun ia turut bermakna trader berdepan risiko volatiliti tinggi walaupun naratif jangka panjang kekal tidak berubah.
Perspektif teknikal: Paras IPO merupakan paras penting
Secara teknikal, kawasan IPO telah muncul sebagai zon paling kritikal pada carta.
Selepas mengalami penurunan harga, saham SpaceX kembali bergerak menghampiri paras di mana ia mula disenaraikan. Kawasan IPO kini berfungsi sebagai zon psikologi dan teknikal utama.
Momentum berpotensi untuk pulih semula sekiranya pembeli mampu bertahan di kawasan IPO. Trader teknikal boleh menunggu sehingga keadaan stabil, paras rendah lebih tinggi, volume bullish, dan harga kembali bergerak ke arah paras tertinggi sebelum ini selepas IPO.
Sekiranya kawasan IPO gagal dipertahankan, senario bearish akan menjadi lebih dominan. Penembusan harga ke bawah kawasan ini akan menandakan permintaan yang lemah dan nilai saham disemak semula.
Secara mudah, kawasan IPO mungkin paras penentu arah trend yang seterusnya.
Mengapa pelabur membandingkan SpaceX dengan Tesla
Apa yang berlaku pada SpaceX ketika ini telah dibandingkan dengan keadaan ketika Tesla mula disenaraikan sebagai syarikat awam.
Pada waktu itu, Tesla sudah berdepan kritikan berkaitan penilaian saham, kebolehuntungan, dan risiko pelaksanaan sebelum akhirnya muncul sebagai salah satu syarikat paling bernilai di dunia. Faktor inilah menjadi penyumbang mengapa pelabur bersedia membayar harga yang lebih tinggi untuk saham SpaceX.

Rekod pengalaman Elon Musk turut memainkan peranan dalam justifikasi perbandingan ini memandangkan beliau sentiasa mampu merealisasikan idea besar menjadi syarikat besar di pasaran awam.
Namun, perbandingan ini perlu dibuat dengan berhati-hati kerana kejayaan Tesla tidak semestinya menjamin hasil yang sama bagi SpaceX, memandangkan terdapat perbezaan dari segi penilaian harga dan pasaran yang terlibat.
Risiko utama dan faktor pemangkin
Risiko utama begitu jelas:
- tekanan kepada penilaian saham
- kerugian kos operasi
- volatiliti tinggi
- kelewatan dalam pelaksanaan
- isu pengawalseliaan atau berkenaan pelancaran roket
- pertumbuhan Starlink yang lebih perlahan daripada jangkaan
- sentimen risk-off yang lebih meluas dari segi prestasi saham
Pada masa yang sama, terdapat beberapa faktor yang mungkin dapat memberi sokongan kepada nilai saham:
- pendapatan suku tahunan yang kukuh
- pertumbuhan pendapatan yang lebih pantas
- pelanggan Starlink yang terus bertambah
- pelancaran roket atau kontrak pertahanan baharu
- kemajuan dalam inisiatif berkaitan AI
- pelan strategik terkini yang positif dari Elon Musk
- berjaya mengekalkan paras IPO sebagai paras sokongan
Apa makna semua ini untuk trader?
SpaceX masih lagi menjadi instrumen dagangan yang berpotensi besar tetapi berisiko tinggi. Naratif pertumbuhan jangka panjang masih lagi menarik pelabur, namun pasaran memerlukan bukti nyata kemajuan pada masa hadapan sebagai justifikasi nilai saham Spacex yang tinggi.
Bagi trader, tahap volatiliti dijangka kekal tinggi. Pergerakan saham SpaceX mungkin sangat dipengaruhi oleh laporan pendapatan, perkembangan Starlink, aktiviti pelancaran terkini, kontrak kerajaan, berita berkaitan AI, dan kenyataan rasmi daripada Elon Musk.
Paras IPO masih kekal menjadi kawasan teknikal tumpuan. Jika harga bertahan di atasnya, momentum ke arah pemulihan mungkin mendapat sokongan; namun jika berlaku penembusan berterusan ke bawah, ia boleh menandakan fasa penilaian semula yang lebih mendalam.
Perkara paling penting di sini cukup mudah: SpaceX mungkin menjadi salah satu syarikat awam paling penting dalam dekad akan datang, tetapi jangkaan semata-mata tidak mencukupi. Mulai dari saat ini, pasaran akan memberi tumpuan terhadap pelaksanaan perancangan, prestasi kewangan dan sama ada sasaran pertumbuhan mampu dicapai.