Perasan atau tidak, kadang-kala kita mengalami situasi paradoks tanpa kita sedari: kadar penggangguran meningkat, pertumbuhan KDNK perlahan, inflasi kekal tinggi—namun pasaran saham mencatatkan paras tertinggi. Sebenarnya, ini bukan satu fenomena baharu. Malah, ia kerap berlaku kerana pasaran dan ekonomi sebenar mengukur dan mencerminkan perkara yang sangat berbeza. Mari kita lihat mengapa perkara ini berlaku, bila masanya trend ini berpotensi untuk berbalik arah, dan bagaimana cara mengenal pasti perubahan tersebut tepat pada masanya.
Apa yang Pasaran Ukur dan Apa pula yang Ekonomi Ukur?
Pertama sekali, terdapat perbezaan penting antara keduanya:
Pasaran saham mencerminkan jangkaan terhadap perolehan syarikat pada masa hadapan, kadar faedah, dasar monetari, dan sentimen pelabur. Ia menetapkan “harga” masa hadapan, bukan masa kini (atau, sekurang-kurangnya, bukan semata-mata waktu sekarang).
Makroekonomi (GDP, pengangguran, inflasi, permintaan pengguna) pula menunjukkan situasi sekarang dan dalam tempoh terdekat sebelum ini. Data makroekonomi biasanya agak ketinggalan: data laporan pengangguran atau pertumbuhan KDNK “datang lewat ” berbanding apa yang sedang berlaku atau yang dijangkakan oleh pelabur.
Perbezaan ini mewujudkan situasi paradoks yang tidak masuk akal: ekonomi sedang meleset, tetapi pasaran sudah menjangkakan keadaan akan bertambah baik, lalu mengambil kira faktor tersebut ketika menetapkan harga masa hadapan.
Kenapa Pasaran Masih Boleh Melonjak Walapun Ekonomi Semasa “Tidak Begitu Memberangsangkan”
Antara sebab utama dan mekanisme yang mendorong fenomena ini berlaku adalah:
1. Jangkaan Keadaan Pulih dan Penilaian Awal
pelabur percaya bahawa kemerosotan ekonomi sekarang hanyalah bersifat sementara waktu sahaja dan ia akan kembali pulih (sebagai contoh, bank pusat akan mengurangkan kadar faedah, pakej rangsangan akan mula memberi kesan, inflasi akan menurun), faktor ini akan dipertimbangkan oleh pelabur menentukan harga saham hari ini. Dalam kata lain, pasaran “mengabaikan” kelembapan sementara, dan bergerak berdasarkan jangkaan pada masa hadapan.
2. Dasar Bank Pusat/Kadar Faedah
Apabila kadar pembiayaan (refinancing rate) tinggi dan terus meningkat, ia akan “menekan” aliran tunai pada masa hadapan—faktor diskaun (kadar digunakan untuk menilai hari ini bagi aliran tunai masa hadapan), dan pertumbuhan harga saham menjadi perlahan.
Jika kadar faedah dijangka akan menurun atau kenaikannya perlahan, situasi ini memberi rangsangan kepada pasaran (walaupun data ekonomi semasa masih perlahan). Namun, jika pasaran yakin bahawa Fed atau bank pusat akan melonggarkan dasar monetari, pasaran saham akan mula meningkat.
Contoh: Keputusan Rizab Persekutuan baru-baru ini untuk memotong kadar faedah selepas beberapa kenaikan sebelum ini telah mencetuskan sentimen optimis dalam pasaran.
3. Dolar Lemah/Ekonomi Global Positif
Apabila dolar melemah, syarikat yang memperoleh pendapatan dari luar negara akan mendapat kelebihan: jualan asing syarikat tersebut akan bertambah apabila ditukarkan kepada dolar. Ini boleh melonjakkan keuntungan, terutamanya untuk syarikat teknologi dan yang berorientasikan eksport.
4. Segmen Ekonomi yang Kukuh
Tidak semua segmen dalam ekonomi akan terjejas dalam skala yang sama. Ada industri tertentu, seperti teknologi, AI, sektor-sektor “baharu”, mampu mencatatkan pertumbuhan, inovasi dan keuntungan yang kukuh, walaupun dalam keadaan KDNK yang perlahan dan inflasi tinggi. Sekiranya syarikat-syarikat besar dalam sektor teknologi memiliki pemberat yang dominan dalam indeks, ia boleh mendorong kenaikan indeks tersebut, walaupun prestasi ekonomi secara keseluruhan masih lemah.
5. Jangkaan Rangsangan Monetari dan Fiskal
Apabila pasaran menjangkakan pihak kerajaan dan/atau bank pusat akan campur tangan (cth., menurunkan kadar faedah, menyuntik likuiditi, memberi pengecualian cukai, menyokong perbelanjaan infrastruktur), tindakan ini akan memberi kesan positif pada aset berisiko. Walaupun hanya sekadar jangkaan campur tangan akan berlaku, ia boleh menjadi pendorong yang kuat.
6. Indikator Makroekonomi Tidak Mencerminkan Keadaan Semasa
Seperti dinyatakan sebelum ini, kadar pengangguran, KDNK yang perlahan dan sebagainya, lazimnya agak “tertinggal” dalam kitaran ekonomi. Jadi, apabila syarikat dan pelabur sudah melihat tanda-tanda kemerosotan, mereka telah pun mengambil kira jangkaan tersebut dalam penetapan harga pasaran. Dan apabila data ekonomi yang “lemah” ini diumumkan kemudian, kesannya selalunya telah pun diambil kira dalam pasaran.
7. Perbezaan antara Keuntungan dan Pendapatan Korporat vs. Pertumbuhan “Ekonomi Sebenar”
Syarikat korporat boleh mengoptimumkan kos, menaikkan harga, memindahkan kesan inflasi kepada pengguna, memanfaatkan teknologi, menguruskan rantai bekalan dengan lebih cekap dan meningkatkan produktiviti. Kesemua tindakan ini membolehkan syarikat mengekalkan atau bahkan meningkatkan keuntungan walaupun ketika pengguna sedang bergelut dengan tekanan ekonomi.
8. Risiko dan Premium Risiko
Dalam keadaan ketidaktentuan (ekonomi, geopolitik), ada pelabur yang membuat “pertaruhan” ke atas pertumbuhan ekonomi. Mereka meramalkan “keadaan paling buruk telah berakhir” dan pasaran kini berada di bawah nilai sebenar (undervalued). Selain itu, terdapat “free money” (likuiditi) yang sedang mengejar hasil pelaburan—apabila hasil bon rendah dan kadar faedah terlalu tinggi, pasaran saham menjadi dilihat menawarkan risiko yang lebih menarik.
Apa yang Sedang Berlaku Sekarang (2025)
Untuk mendapatkan perspektif realiti sebenar, berikut adalah apa yang kita boleh lihat daripada laporan dan analisis semasa:
- Fed memotong kadar faedah buat pertama kali sejak sekian lama: pasaran telah pun mengambil kira jangkaan ini dalam penetapan harga.
- Inflasi masih tinggi, namun terdapat tanda-tanda ia mula stabil atau menurun, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap dasar bank pusat.
- Fokus terhadap sektor teknologi, termasuk AI: perniagaan dalam sektor ini dilihat berupaya menjana kadar pertumbuhan yang tinggi walaupun dalam keadaan makroekonomi “tidak memberangsangkan”.
- Dolar yang lemah membantu syarikat meraih keuntungan melalui eksport global.
- Markets react to “negative” news as positive in terms of policy: bad data increased expectations of easing. This is a kind of “optimism through pain”: the worse the data, the greater the pressure on the Fed to cut rates, and the higher the chance for stocks. Reaksi pasaran terhadap berita “negatif”, boleh menjadi positif dari perspektif dasar: data ekonomi yang lemah meningkatkan jangkaan dasar monetari yang lebih longgar. Situasi ini seperti “sentimen optimis dalam kesulitan”: lebih lemah data, lebih tinggi tekanan kepada Fed untuk menurunkan kadar faedah, dan lebih besar peluang bagi pasaran saham untuk melonjak.
Had dan Risiko
Namun, penting untuk difahami bahawa perbezaan tersebut tidak berlaku secara berterusan tanpa menimbulkan implikasi. Berikut antara kesan yang perlu diberi perhatian:
- Jika jangkaan tidak dipenuhi (inflasi tidak menurun, pertumbuhan ekonomi tidak berlaku, kadar faedah kekal tinggi), pasaran berisiko mengalami pembetulan harga secara agresif.
- Jika syarikat mula mengeluarkan laporan kewangan yang lemah, yang mengesahkan permintaan semakin menurun atau kenaikan kos, nilai saham berdasarkan jangkaan mungkin diturunkan lebih rendah.
- Kadar faedah lebih tinggi terhadap hutang dan kos pinjaman yang lebih tinggi akan menjejaskan syarikat yang mempunyai hutang tinggi.
- Faktor luaran seperti geopolitik, gangguan rantai bekalan, dan risiko luar jangkaan (tenaga, ideologi, iklim, etc.) boleh memberi kesan negatif terhadap perasaan optimis.
Situasi di mana Trend Menaik di Pasaran Boleh Berubah Arah
1. Inflasi Kekal Tinggi
- Jika inflasi masih kekal tinggi atau kembali meningkat, keadaan ini akan mengehadkan ruang bagi Fed untuk memotong kadar faedah.
- Dalam senario inflasi berpanjangan, syarikat akan berdepan dengan kenaikan kos, permintaan menurun, dan peluang untuk menaikkan harga produk/perkhidmatan semakin kecil.
2. Fed atau Bank Pusat Lain Kekal Pendirian Tegas dalam Dasar Monetari
- Jika pengawal selia menyatakan “Kami tidak akan memotong kadar faedah selagi tidak melihat tanda-tanda pemulihan,” pasaran mungkin segera menilai semula jangkaannya.
- Penting: kenyataan rasmi Fed boleh mengubah arah pasaran. Satu ucapan oleh Powell atau minit mesyuarat FOMC sudah cukup untuk mengubah sentimen pelabur.
3. Laporan Kewangan Korporat yang Tidak Memberangsangkan
- Jika syarikat mula menunjukkan terdapat penurunan dalam pendapatan, keuntungan, atau unjuran untuk beberapa suku tahun, situasi ini memberi tamparan langsung kepada jangkaan yang bersifat “optimistik”.
- Gergasi dunia teknologi dan “index drivers” memainkan peranan penting: Apple, Microsoft, Alphabet, Nvidia, dan Amazon. Jika mereka “terjatuh”, indeks akan “tersungkur” bersama.
4. Kadar Pengangguran Meningkat, Permintaan Pengguna Terjejas Teruk
- Pasaran boleh mengambil langkah terus mengabaikan data lemah untuk satu tempoh yang panjang. Tetapi, jika pengangguran mula meningkat dengan pantas dan memberi kesan kepada sektor runcit, kredit, dan perbelanjaan pengguna, pelabur akan mula menyemak semula jangkaan mereka.
5. Krisis Kewangan/Risiko Hutang
- Jika bilangan syarikat gagal membayar hutang dan isu dalam sistem perbankan terus meningkat (seperti krisis kewangan 2008 atau krisis bank serantau di AS pada 2023), pendekatan monetari longgar oleh Fed sekalipun tidak akan mampu menyelamatkan keadaan.
6. Geopolitik atau Kejutan Luar Jangkaan Sektor Tenaga
- Peperangan, konflik dagangan baharu, dan lonjakan harga minyak dan gas boleh menjejaskan pendirian optimistik kerana faktor-faktor tersebut mampu mengancam pertumbuhan ekonomi.
Cara Kenal Pasti Jangkaan Pertumbuhan Tidak Dipenuhi
Berikut adalah beberapa “petunjuk awal” yang digunakan oleh pelabur profesional:
1. Pasaran Bon (Pulangan dan Lengkung Hasil)
- Jika pulangan (yield) jangka panjang bon meningkat (pasaran mula menetapkan harga lebih tinggi untuk risiko inflasi dan kadar faedah), tetapi saham terus naik, ini menunjukkan wujudnya ketidaksepadanan (disonans) dalam sentimen pasaran
- Lengkung hasil yang terbalik (apabila kadar faedah jangka pendek lebih tinggi daripada kadar jangka panjang) lazimnya menjadi petunjuk awal kepada kemelesetan ekonomi.
2. Anggaran Perolehan Sesaham (Forward P/E)
- Jika indeks meningkat tetapi jangkaan perolehan korporat menurun, penilaian pasaran menjadi terlalu tinggi (inflated). Ini menandakan wujudnya “bubble”.
- Pantau unjuran konsensus daripada penganalisis (seperti FactSet, Bloomberg): jika EPS untuk tahun kerap disemak semula dan diturunkan, tetapi pasaran masih terus naik, ini petanda jelas bahawa pembetulan harga (correction) mungkin berlaku tidak lama lagi.
3. Keluasan pasaran menyusut
- Jika hanya beberapa sahaja syarikat gergasi (cth. Nvidia, Apple) yang mencatat pertumbuhan, dan dalam masa yang sama majoriti saham dalam “pasaran menyeluruh” jatuh atau mendatar, ini merupakan petunjuk negatif terhadap prestasi pasaran secara keseluruhan.
- Indikator: bandingkan pergerakan antara S&P 500 dan Russell 2000 (mewakili syarikat kecil). Jika jurang prestasi antara kedua-duanya semakin melebar, ini menandakan pertumbuhan pasaran yang rapuh dan tidak menyeluruh.
4. VIX dan Volatiliti
- Jika Indeks Volatiliti (VIX) mula meningkat ketika pasaran mencatatkan pertumbuhan positif, ini menunjukkan pelabur mula mengambil langkah lindung nilai (hedging). Situasi ini juga menandakan pasaran tidak yakin arah aliran kenaikan tersebut akan berkekalan.
5. Dolar dan Pasaran Komoditi
- Pengukuhan mendadak dolar AS serta kenaikan harga minyak dan gas memberi tekanan kepada syarikat korporat dan pengguna. Dalam situasi ini, pertumbuhan pasaran saham lazimnya akan terbantut dengan cepat.
6. Tindakan Entiti Dalaman
- Apabila pengurusan tertinggi atau pemegang saham utama mula melupuskan pegangan mereka secara agresif pada harga tertinggi, ia sering menjadi petunjuk awal bahawa mereka tidak yakin dengan potensi pasaran untuk terus berkembang.
Kesimpulan
Pertumbuhan jangka pendek dalam ekonomi yang lemah biasanya disokong oleh jangkaan dasar monetari yang longgar, pemulihan permintaan, serta prestasi sektor teknologi yang kukuh.
Namun, arah pasaran boleh berbalik arah kepada menurun jika jangkaan tersebut tidak dipenuhi: inflasi berpanjangan, Fed enggan menurunkan kadar faedah, laporan kewangan korporat mula merosot, dan data ekonomi makro menjadi terlalu negatif untuk tidak dipandang serius.
Situasi ini boleh dikenal pasti lebih awal melalui beberapa “tanda-tanda amaran” seperti berikut:
- jangkaan prestasi korporat menurun;
- divergence dalam arah antara pasaran saham dan bon;
- keluasan pasaran menyusut;
- volatiliti dan langkah lindung nilai semakin meningkat;
- pergerakan ketara dalam dolar dan pasaran komoditi.