Kebanyakan trader melihat pasaran sebagai pulau yang terasing. Jika anda berdagang saham, anda akan memantau S&P 500 dan laporan syarikat. Jika anda terlibat dalam forex pula, anda akan meneliti pendekatan bank pusat dan data makro. Namun, realitinya sangat berbeza.
Pasaran kewangan ialah sebuah ekosistem gergasi di mana semuanya saling berkait. Pergerakan dalam satu sektor akan mencetuskan reaksi berantai yang muncul dalam aset lain yang sama sekali berbeza. Masalahnya, hubung kait ini tidak jelas. Ia tidak nampak secara luaran, tidak mendapat liputan berita, dan kebanyakan peserta pasaran tidak menyedari kewujudannya.
Mari kita lihat hubung kait antara pasaran yang paling berimpak tinggi, yang berfungsi secara konsisten tetapi kekal tersembunyi daripada pandangan trader runcit.
1. Penghantaran kontena: bola kristal untuk inflasi
Kita mulakan dengan salah satu petunjuk utama yang paling konsisten — kos penghantaran kontena dan inflasi pengguna. Baltic Dry Index (BDI) atau, lebih tepat lagi kos penghantaran kontena bersaiz 40 kaki dari China ke Amerika Syarikat, boleh dianggap sebagai petunjuk inflasi 2–3 bulan lebih awal.
Logiknya cukup mudah, tetapi ramai orang terlepas pandang. Apabila kos penghantaran sebuah kontena dari Shanghai ke Los Angeles melonjak daripada $2,000 kepada $10,000 (seperti yang berlaku pada 2021), ia bermakna kos barangan import turut meningkat mendadak. Kos ini tidak hilang begitu sahaja — ia dimasukkan ke dalam harga barangan yang dijual kepada pengguna.
Namun, kesannya mengambil masa. Sekitar 6–8 minggu diperlukan dari tarikh kontena dihantar sehingga barang sampai ke rangkaian runcit. Kemudian, kira-kira sebulan lagi diperlukan untuk stok lama habis dijual sebelum kedai mula menawarkan barangan baharu dengan kos logistik yang lebih tinggi. Secara keseluruhan, tempoh masa daripada kenaikan harga penghantaran kepada peningkatan CPI adalah sekitar 2.5–3 bulan.
Maklumat ini begitu berharga untuk trader. Jika anda melihat kadar penghantaran kontena mula meningkat, anda boleh bersedia lebih awal untuk menghadapi kenaikan inflasi yang mungkin melebihi jangkaan konsensus dalam suku tahunan berikutnya. Ini bermakna harga bon akan jatuh (pulangan meningkat), Rizab Persekutuan (Fed) mungkin mengambil pendekatan lebih hawkish, dolar mengukuh, dan growth stocks berdepan tekanan. Kesan yang bertentangan juga turut berlaku jika situasi sebaliknya berlaku. Apabila kos penghantaran jatuh (seperti yang berlaku pada 2023), ia menjadi petanda bahawa tekanan inflasi sedang mereda, dan dalam beberapa bulan selepas itu, CPI akan mula perlahan. Penurunan inflasi biasanya akan disusuli dengan kejatuhan nilai mata wang negara, kerana bank pusat akan mula menurunkan kadar faedah.
2. Petunjuk silikon: Semikonduktor sebagai nadi masa hadapan
Satu lagi hubung kait yang nampak tidak ketara tetapi sebenarnya penting adalah hubungan antara sektor semikonduktor (cip) dan keadaan ekonomi global secara keseluruhan. Pada hari ini, cip dianggap sebagai “minyak baharu”. Ia digunakan dalam pengisar kopi, kereta, roket, dan server AI.
Mekanisme hubungan ini adalah: pasaran semikonduktor sangat sensitif terhadap kitaran perbelanjaan modal (capex). Apabila syarikat besar (daripada bank hingga gergasi automotif) menjangkakan pertumbuhan ekonomi positif untuk tempoh enam bulan hingga satu tahun, pihak-pihak ini akan memberi peralatan secara besar-besaran dan menaik taraf infrastruktur IT. Pesanan untuk cip dibuat jauh lebih awal sebelum kilang mengeluarkan produk yang telah siap.
Oleh itu, indeks semikonduktor (contohnya, SOX – Philadelphia Semiconductor Index) biasanya mula meningkat beberapa bulan sebelum indeks saham S&P yang lebih meluas mula meningkat. Jika anda melihat saham pengeluar cip (NVIDIA, TSMC, Intel) mula meningkat secara konsisten walaupun pasaran bergerak mendatar, ini petunjuk bahawa perniagaan besar sedang bersedia untuk meluaskan operasi dan “smart money” sudah berada di pasaran.
Namun terdapat kelemahan dalam hubungan ini: tempoh penghantaran. Jika masa penghantaran cip mula meningkat (pengeluar tidak mampu memenuhi permintaan), situasi ini akan mencetuskan kekurangan dalam industri automotif dan elektronik. Trader tahu bahawa dalam tempoh enam bulan, syarikat seperti Toyota atau Apple, sebagai contoh, akan melaporkan pendapatan merosot kerana mereka kekurangan komponen untuk menghasilkan produk.
3. Kuprum – barometer ekonomi
Kuprum dikenali sebagai “logam yang mempunyai PhD dalam ekonomi” dan gelaran itu sememangnya berasas. Kuprum satu-satunya logam industri yang digunakan hampir di semua sektor: dalam pembinaan, elektronik, automotif, dan tenaga. Jadi, harga kuprum mencerminkan permintaan sebenar dalam ekonomi global.
Inilah kunci utama hubungan tersebut: apabila harga kuprum naik, ia memberi isyarat ekonomi global sedang rancak. Ini bermakna saham syarikat berkitaran (pengeluar, operator logistik, gergasi industri) akan mula meningkat. Permintaan terhadap tenaga juga semakin bertambah, sekaligus mendorong kenaikan harga minyak dan gas.
Sebaliknya jika harga kuprum mula jatuh untuk tempoh beberapa minggu, ia menjadi isyarat yang hampir pasti bahawa pengeluaran industri di China dan AS sedang perlahan. Ia menjadi domino pertama yang akan tumbang, jauh lebih lama sebelum statistik rasmi menunjukkan kejatuhan KDNK. Trader yang berpengalaman akan memantau kuprum untuk menilai sama ada berbaloi membeli saham gergasi industri ketika ini atau sudah tiba masanya untuk bersedia menghadapi kemelesetan ekonomi. Jika “Dr. Kuprum” sakit, tidak lama selepas itu keseluruhan pasaran saham akan mula terbatuk.
Satu lagi petunjuk menarik ialah nisbah kuprum/emas. Apabila nisbah ini meningkat, ia bermakna prestasi kuprum lebih baik berbanding emas, iaitu tanda keyakinan dalam ekonomi — pelabur lebih memilih logam industri berbanding aset defensif. Sebaliknya, apabila nisbah ini jatuh, pasaran sedang bersedia untuk menghadapi kelembapan ekonomi.
4. Minyak dan Dolar Kanada: pasangan klasik
Hubungan antara harga minyak dan dolar Kanada ialah “rahsia umum” dalam dunia forex, namun masih ramai yang tidak memahami betapa kukuhnya dan sejauh mana hubungan boleh dipercayai. Kanada merupakan pengeksport minyak utama, dengan “emas hitam” ini menyumbang kira-kira 20% daripada hasil eksport negara. Jadi, apabila harga minyak meningkat, lebih banyak dolar mengalir masuk ke Kanada daripada pembeli asing, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap dolar Kanada.
Hubungan ini juga begitu stabil sehinggakan pasangan USD/CAD sering digelar sebagai “mata wang minyak.” Apabila WTI atau Brent naik, dolar Kanada mengukuh berbanding dolar AS (USD/CAD jatuh). Sebaliknya, apabila harga minyak jatuh, dolar Kanada melemah (USD/CAD meningkat).
Namun ada perkara yang trader baharu sering terlepas pandang. Hubung kait ini tidak berlaku serta-merta. Biasanya, harga minyak bergerak dahulu, kemudian akan diikuti oleh dolar Kanada, lewat beberapa jam atau hari, terutamanya jika pergerakan pasaran minyak berlaku di luar sesi dagangan Amerika Utara. Situasi ini membuka peluang dagangan kepada trader.
Hubungan yang serupa juga wujud antara minyak dan krone Norway (NOK), serta antara harga kuprum dan dolar Australia (AUD). Australia merupakan pengeksport terbesar bijih besi dan logam lain, kerana itu AUD sering digelar sebagai “mata wang komoditi.”
5. Pasaran bon dan mata wang kripto
Apabila pulangan Bon Perbendaharaan (Treasury) 10 tahun meningkat, secara langsung ia akan menyedut keluar likuiditi daripada aset berisiko. Reaksi terhadap situasi ini paling cepat dirasai dalam pasaran kripto.
Mengapa kripto? Kerana ia merupakan aset tanpa aliran tunai. Bitcoin tidak membayar dividen atau menjana keuntungan. Nilai kripto bergantung sepenuhnya pada permintaan spekulatif dan keyakinan harga meningkat pada masa hadapan. Dengan kadar bebas risiko (pulangan Perbendaharaan dianggap kadar bebas risiko) meningkat daripada 3% kepada 5%, pelabur akan mula berfikir, “Mengapa saya perlu ambil risiko pada Bitcoin sedangkan saya boleh dapatkan 5% setahun yang terjamin daripada bon?’. Kesannya: aliran dana beralih daripada kripto ke bon.
Namun bukan itu sahaja. Peningkatan pulangan Perbendaharaan tidak hanya memberi kesan langsung, tetapi juga melalui likuiditi. Kadar faedah tinggi bermaksud pendekatan dasar Fed yang ketat, likuiditi dolar semakin mengecil, dan kos pinjaman margin menjadi lebih tinggi. Pasaran kripto sangat bergantung pada ketersediaan kredit mudah (cheap money) and leveraj. Apabila kos kredit menjadi lebih tinggi, trader runcit menutup posisi mereka, dan mata wang kripto biasanya akan jatuh dahulu.
Bagi trader, ini bermakna satu peraturan mudah: pantau pulangan Perbendaharaan 10 tahun sebagai petunjuk utama sentimen pasaran. Jika pulangan meningkat mendadak, trader boleh jangkakan tekanan pada kripto, growth stocks, dan semua aset berisiko tinggi. Sebaliknya, jika pulangan menurun, ia isyarat lampu hijau untuk spekulasi.
6. Yuan dan pasaran komoditi
Yuan China (CNY) merupakan faktor tersembunyi bagi semua pasaran komoditi. China merupakan pengguna terbesar global untuk logam, arang batu dan minyak. Apabila yuan mengukuh berbanding dolar, import komoditi ke China menjadi lebih murah dan permintaan meningkat. Sebaliknya apabila yuan melemah, kos import lebih tinggi, dan permintaan menurun.
Hubungan ini lebih ketara dalam pasaran logam. Kuprum, bijih besi, aluminium — semua aset ini sangat berkait rapat dengan pergerakan yuan. Jika USD/CNY jatuh (yuan mengukuh), harga logam industri dijangka meningkat. Sementara itu, jika USD/CNY meningkat (yuan melemah), komoditi biasanya berada di bawah tekanan.
Satu lagi perkara penting: kerajaan China kadang-kala sengaja melemahkan yuan untuk menyokong eksport. Dalam tempoh begini, pasaran komoditi sering merosot kerana yuan yang lemah ialah isyarat tidak langsung bahawa ekonomi China sedang tekanan dan memerlukan rangsangan aktiviti eksport.
7. Indikator VIX dan permintaan terhadap aset defensif
Indeks volatiliti (VIX) bukan sekadar “indeks kebimbangan.” Ia mencerminkan permintaan terhadap perlindungan option. Apabila VIX meningkat, ia bermakna pelabur institusi membeli put option secara besar-besaran untuk melindung nilai terhadap kejatuhan pasaran.
Sementara itu, peningkatan VIX hampir sentiasa disusuli dengan aliran modal keluar daripada saham, kepada bon. Apabila trader mula bimbang, mereka akan menjual aset berisiko dan membeli bon Perbendaharaan. Kesannya, pulangan bon akan jatuh (harga meningkat) dan saham merudum.
Namun ada satu hubungan yang lebih bersifat tersirat. Apabila VIX berada paras yang sangat rendah (di bawah 12–13), ia menunjukkan pasaran berada dalam keadaan terlebih yakin. Pelabur tidak nampak risiko, tidak membeli perlindungan, dan berdagang dengan leveraj tinggi. Ini adalah senario klasik untuk pembetulan harga (correction) yang mendadak. Berdasarkan rekod sebelum ini, tempoh VIX yang terlalu rendah sering diikuti oleh jualan besar-besaran. Situasi berlawanan: apabila VIX melonjak melebihi 30–35, biasanya ia isyarat panik. Dan panik, seperti yang kita tahu, menawarkan peluang beli terbaik. Ramai trader profesional menggunakan peraturan: apabila VIX mencapai paras ekstrem, cari titik entri.
Kesimpulan
Semua hubungan ini wujud bukan kerana pasaran bergerak seiring secara misteri. Ia berlaku kerana disokong oleh aliran wang sebenar, perubahan kos modal, serta perubahan sentimen pelabur.
Apa yang menjadi isu adalah kebanyakan trader hanya menumpukan pada segmen kecil pasaran masing-masing. Sebaliknya, pengurus dana lindung nilai, trader institusi, dan spekulator berpengalaman sentiasa memberi perhatian kepada beberapa pasaran serentak.
Trader perlu melihat dalam perspektif yang lebih besar. Jangan hanya terbatas pada satu aset atau satu pasaran sahaja. Masukkan minyak, pulangan bon Perbendaharaan, dolar, kuprum, dan VIX dalam senarai pemantauan harian anda. Kaji bagaimana semuanya berhubung kait dengan instrumen utama anda. Cari indikator utama yang dapat memberi kelebihan kepada anda.