Zon Pivot Harga atau Price Pivot Zones (PPZ) ialah kawasan pada carta di mana pasaran sebelum ini telah berhenti seketika, mengalami pembalikan (reversal) atau menjadi perlahan. Tidak seperti paras sokongan atau rintangan yang lebih statik, zon aktif ini adalah kawasan di mana pembeli dan penjual bersaing. Dalam zon ini juga pergerakan pembalikan dan breakout sering terbentuk, dan kemungkinan besar harga pasaran akan kembali ke zon ini.
Dalam bahasa mudahnya, PPZ ialah “nod likuiditi” pada carta, iaitu kawasan di mana pasaran menunjukkan arah dan reaksi yang jelas sebelum ini dan ada kemungkinan akan berulang.
Kenapa PPZ Sangat Penting?
1. Ia berkesan kerana menjadi tumpuan trader
Apabila harga pasaran menghampiri semula zon ini, pending order, stop-loss dan dagangan baru akan diaktifkan. Kesannya, pasaran akan memberi reaksi terhadap aktiviti tersebut. PPZ berkesan bukan kerana faktor “magis”, tetapi kerana zon ini digerakkan oleh aliran wang sebenar dan jangkaan pasaran.
2. Ketelusan dan logik
Tidak seperti petunjuk yang bersifat abstrak, PPZ berpandukan pergerakan harga sebenar, di mana pasaran telah menunjukkan pembalikan atau kehilangan momentum. Faktor ini menjadikan PPZ mudah difahami dan logik, walaupun tanpa menggunakan alat dagangan yang kompleks.
3.Sebagai asas dalam membuat keputusan
PPZ memberikan titik rujukan utama kepada trader: di mana untuk masuk dagangan, keluar dan menjangka reaksi pasaran. Perkara-perkara ini begitu penting ketika pasaran tidak menentu, apabila struktur pasaran yang jelas diperlukan untuk menyokong keputusan dagangan.
Bagaimana Cara Kenal Pasti PPZ pada Carta?
1. Cari kawasan pembalikan harga
Perhatikan carta dan tumpukan pada bahagian di mana harga berubah arah dengan ketara, seperti paras harga tertinggi atau terendah, zon pengumpulan sebelum pasaran bergerak dengan kukuh atau paras yang telah diuji beberapa kali oleh pasaran.
2. Lukis zon, bukan garis
Harga pasaran jarang mengalami pembalikan pada satu titik tunggal. Ia biasanya berlaku dalam julat (range), sebagai contoh 10-30 pip. Lukiskan segi empat (zon) yang merangkumi turun naik harga.
3. Semakin kerap zon diuji, lebih kukuh PPZ tersebut
Jika harga telah melonjak semula dari sesebuah kawasan 2-3 kali, ia menunjukkan PPZ yang ketara. Jika situasi ini berlaku pada rangka masa yang lebih tinggi, PPZ tersebut adalah lebih kukuh.
Contoh:

Bagaimana Cara Gunakan PPZ dalam Dagangan?
1. Dagangan di Zon (Pantulan)
Apabila harga bergerak menghampiri PPZ, perhatian isyarat reversal: pin bar, engulfing bar, volume cluster atau rejection candle yang agresif. Sekiranya terdapat pengesahan, anda boleh buka posisi stop loss rapat di luar sempadan zon tersebut.
2. Dagangan di Breakout
Jika harga menembusi kawasan PPZ dengan volume yang semakin meningkat dan ditutup di atas PPZ, ini adalah isyarat kekuatan. Anda boleh masuk dagangan mengikut arah breakout (penembusan), terutamanya jika tiada paras utama lain sehingga sasaran seterusnya. Perlu diingat bahawa pergerakan breakout ini mestilah bersifat impulsif, pantas dan pada candle bersaiz besar.
3. Retest atau Penerusan Trend
Sekiranya trend sedang aktif dan harga kembali ke PPZ yang sebelum ini merupakan paras rintangan, tetapi kini menjadi paras sokongan, ini adalah titik masuk yang optimum untuk berdagang mengikut arah trend.
Kesilapan Lazim Ketika Menggunakan PPZ
Terlalu banyak zon dilukis
Jangan jadikan carta anda seperti “lintasan zebra.” Lebih baik ada 2-3 zon yang kukuh daripada 10 zon yang lemah. Fokuskan pada PPZ yang benar-benar menunjukkan interaksi harga. Jika anda tidak pasti sama ada terdapat interaksi harga pada zon tersebut, besar kemungkinan ia bukan PPZ yang kuat.
Masuk pasaran tanpa pengesahan
Pergerakan harga menghampiri zon bukanlah satu isyarat untuk membuka posisi. Tunggu tindak balas pasaran. Harga pasaran boleh menembusi zon atau hanya melaluinya tanpa mengalami pembalikan arah.
Tidak mengambil kira konteks
PPZ yang kukuh berpotensi untuk gagal, jika (sebagai contoh) terdapat trend yang begitu kukuh dan mempunyai momentum tinggi. Zon berfungsi sebagai panduan, bukan sebagai satu jaminan.
Kesimpulan
PPZ ialah alat dagangan yang efektif dan praktikal untuk mana-mana trader. Ia tidak memerlukan indikator yang rumit, tetapi memberi titik rujukan yang jelas pada carta. Dengan menggunakan PPZ, trader akan mula memahami di mana dan kenapa harga pasaran akan menjadi responsif. PPZ merupakan kawasan penting yang sering menjadi titik perubahan dalam pasaran.
Jika strategi dagangan anda berasaskan pergerakan harga, PPZ seharusnya menjadi komponen utama untuk menentukan titik masuk, keluar, analisis konteks dan menilai kebarangkalian. Jika anda menggunakan pendekatan berbeza, PPZ masih boleh menjadi faktor pelengkap yang penting, asalkan tiada isyarat yang bertentangan (sebagai contoh, harga kembali ke PPZ selepas mengalami breakout dan memberi reaksi dengan pin bar, tetapi indikator teknikal tidak memberi isyarat jelas untuk masuk).