Ketegangan antara Presiden Donald Trump dan Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell kini kembali mendapat perhatian. Donald Trump, figura yang terkenal dengan kontroversi dalam politik, sekali lagi menggesa agar kadar faedah diturunkan serta-merta. Sementara itu, Rizab Persekutuan, yang diketuai oleh Powell dilihat tidak tergesa-gesa untuk membuat keputusan. Situasi ini semakin memuncak berpunca daripada satu faktor utama: dasar tarif Trump yang bertujuan untuk melindungi pihak pengeluar di Amerika turut membawa risiko inflasi baharu, sekali gus memaksa Rizab Persekutuan bertindak dengan lebih berhati-hati.
Jadi, apa yang akan berlaku sekiranya Trump mengambil langkah berani dengan memecat Jerome Powell? Mari kita lihat beberapa simulasi berdasarkan beberapa andaian.
Halangan Perundangan & Institusi
Pertama sekali, adakah Trump mempunyai kuasa untuk memecat Powell?
Secara teknikalnya, beliau boleh. Walaupun Rizab Persekutuan dianggap sebagai badan bebas, dari segi undang-undang, Presiden AS mempunyai kuasa untuk memecat Pengerusi atas “alasan tertentu” (contoh, “tidak dapat menjalankan tugas dengan baik”). Namun, insiden ini tidak pernah berlaku dalam sejarah AS dan Trump sendiri telah melanggar tradisi beberapa kali sebelum ini.
Walaupun dari segi teknikalnya, kuasa untuk memecat Powell masih tidak begitu jelas, pasaran kewangan tidak begitu mementingkan mekanisme pemecatan, tetapi lebih kepada mesej yang ingin disampaikan: dasar monetari semakin bergantung kepada politik.
Situasi ini mungkin menandakan perubahan rejim pentadbiran—daripada Rizab Persekutuan yang bebas kepada institusi yang dicengkam pengaruh politik. Sejarah membuktikan bahawa kebebasan Bank Pusat daripada campur tangan politik menjadi kunci utama dalam kemampuan mengawal krisis mata wang, kadar inflasi dan hilang keyakinan pelabur dalam jangka masa panjang.
Kepercayaan dalam Institusi: Asas Kestabilan
Pemecatan pengerusi Rizab Persekutuan atas faktor politik mungkin akan menjejaskan reputasi kebebasan Bank Pusat. Rizab Persekutuan dianggap sebagai institusi yang bebas dari politik yang bertanggungjawab untuk mengekalkan kestabilan harga dan mengawal kadar pengangguran, tanpa sebarang campur tangan politik. Sekiranya ia berlaku:
- Keyakinan pelabur terhadap institusi di AS: sekiranya pengerusi Bank Pusat boleh dipecat atas faktor politik, sejauh mana kestabilan badan pengawal selia lain boleh dijamin?
- Reputasi global AS: peranan dolar sebagai mata wang rizab global dan aset selamat bergantung pada keyakinan terhadap kestabilan sistem ekonomi dan politik Amerika. Campur tangan politik dalam urusan Rizab Persekutuan boleh menghakis keyakinan tersebut.
Jika Powell disingkirkan sekalipun, beliau mungkin akan kekal dalam lembaga pengarah Rizab Persekutuan, dan pengerusi baharu mungkin memerlukan sokongan majoriti daripada Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC).
Dasar Monetari: Inflasi v. Kadar Faedah
Isu utama dalam perbalahan antara Trump dan Powell adalah kadar faedah. Trump menggesa kadar faedah diturunkan serta-merta untuk merangsang pertumbuhan ekonomi. Namun, dasar perlindungan dagangan dan perang dagangan yang dicetuskan oleh Trump sendiri mendorong kepada inflasi. Tindakan menurunkan kadar faedah dalam keadaan sebegini berpotensi menyebabkan:
- Kitaran inflasi yang baharu: Jika Pengerusi Rizab Persekutuan baharu yang dilantik oleh Trump menurunkan kadar faedah dalam keadaan tergesa-gesa tanpa mempertimbangkan risiko inflasi, ini boleh mendorong kepada kenaikan harga dan kuasa beli mata wang dolar akan menurun.
- Rangsangan ekonomi: Rangsangan ekonomi yang berlebihan dalam keadaan kadar pengangguran yang minimum boleh mewujudkan gelembung dalam pasaran kewangan, dan sekali lagi, kepada inflasi.
Kemungkinan Reaksi Pasaran Terhadap Penyingkiran Powell?
📉 1. Dolar AS
Reaksi jangka pendek:
Pasaran mungkin akan menganggap penyingkiran Powell—walaupun tekanan lebih kuat daripada Rumah Putih—sebagai mencabar kebebasan Rizab Persekutuan.
Mengapa? Jawapannya kerana kredibiliti dasar monetari AS adalah asas kepada status keyakinan mata wang dolar. Sekiranya pelabur merasakan kadar faedah pada masa hadapan dipengaruhi oleh politik, keyakinan pelabur terhadap aset dalam denominasi USD akan terhakis.
Ramalan jangka panjang:
Jika Powell digantikan dengan tokoh yang lebih cenderung mengambil pendekatan dovish, Rizab Persekutuan mungkin akan melonggarkan dasar monetari—terutamanya jika inflasi “ditafsirkan semula” sebagai bersifat sementara. Risiko ini akan mengukuhkan jangkaan inflasi dalam kalangan pelabur, sekaligus meningkatkan tekanan menurun terhadap dolar AS.
📈 2. Pasaran Ekuiti: Volatiliti
Reaksi awal pasaran:
Perubahan mengejut dalam the Fed berpotensi mencetuskan volatiliti jangka pendek dalam pasaran ekuiti. Kebiasaannya, pelabur khuatir tentang situasi yang tidak pasti dan kredibiliti Powell selama ini telah membantu menstabilkan jangkaan pasaran. Indeks utama seperti S&P 500 dan Nasdaq berisiko mengalami penurunan mendadak sekiranya berita pemecatan benar-benar terjadi.
Reaksi positif pasaran untuk tempoh sederhana?
Sebaliknya, pengunduran Powell disusuli dengan isyarat jelas bahawa dasar monetari akan dilonggarkan—terutamanya melalui pemotongan kadar faedah—pasaran ekuiti mungkin pulih dengan cepat, terutamanya saham pertumbuhan (growth) dan teknologi yang sangat sensitif terhadap kadar faedah.
Namun, terdapat dua risiko berbeza yang mungkin timbul:
- Jika pasaran mula panik inflasi akan kekal lebih tinggi untuk tempoh lebih lama,
- atau jika aliran modal asing semakin berkurangan disebabkan ketidakstabilan dolar,
…harga pasaran ekuiti akan mengalami tekanan berterusan.
📈 3. Gold: Lonjakan Harga
Emas dijangka akan menjadi pemenang terbesar dalam senario penyingkiran Powell ini. Mengapa?
- Dolar semakin lemah = harga emas dalam USD akan meningkat.
- Kebimbangan terhadap inflasi = permintaan terhadap aset fizikal seperti emas meningkat
- Kredibiliti Fed terhakis = pelabur beralih kepada instrumen selamat.
Jika hasil sebenar (real yields) merudum, terutamanya apabila kadar faedah nominal dihadkan pada paras tertentu tetapi inflasi masih berterusan, ia boleh mewujudkan situasi “Goldilocks” untuk emas. Dalam keadaan sebegini, tidak mustahil harga emas mencecah atau melepasi paras $3,500/auns.
Kesimpulan
Kelas Aset | Kesan jika Powell Dipecat |
USD | ↓ 3–5% (jangka pendek), risiko menurun berpanjangan yang berstruktur |
Aset Berisiko (EUR, GBP, AUD) | ↑ 1–3% (jangka pendek), meningkat di sebalik USD melemah |
Indeks saham (US500, US100, US30) | ↑ dalam jangka masa sederhana jika disusuli dengan pemotongan faedah, tetapi mengalami volatiliti |
Emas (XAU/USD) | ↑↑ Momentum bullish (dollar melemah + kebimbangan inflasi) |
Perbendaharaan | ↑ Hasil (terutamanya jangka panjang) disebabkan kebimbangan terhadap inflasi |
Pemecatan Jerome Powell oleh Presiden Trump bukan sekadar pertukaran individu. Ia boleh menjadi titik perubahan besar yang berpotensi menjejaskan keyakinan terhadap institusi di Amerika Syarikat, kestabilan sistem kewangan global dan hala tuju dasar monetari. Tindakan ini boleh diibaratkan seperti bermain dengan api dan harga yang perlu dibayar adalah terlalu tinggi. Walaupun pasaran sentiasa mengalami turun naik, namun volatiliti dalam pasaran cenderung akan stabil semula dan boleh diramalkan. Tetapi campur tangan politik yang melibatkan Bank Pusat adalah resipi terbaik untuk menggugat kestabilan dan norma pasaran kewangan.