Dalam artikel sebelum ini, anda telah pun menguasai istilah asas dalam dagangan opsyen. Sekarang, mari kita beralih kepada aspek strategi. Kita akan memahami Greeks yang dominan dalam setiap strategi, bila waktu yang sesuai untuk menjual premium dan memanfaatkan kenaikan volatiliti, serta mengenal pasti posisi dagangan mempunyai risiko assignment (pelaksanaan kontrak secara paksa). Dengan memahami elemen-elemen ini, anda mampu merangka strategi dagangan konsisten dan berkesan dalam pelbagai keadaan pasaran.

Jadi, kali ini kita akan menganalisis beberapa strategi dalam opsyen (biasanya dirujuk sebagai option):

  • Long Call
  • Long Put
  • Covered Call
  • Cash-Secured Put Strategy

1. Long Call (Beli Call Option)

Ini merupakan strategi paling asas dan mudah. Anda membeli Call option jika anda menjangkakan harga aset (underlying asset) akan meningkat

Potensi keuntungan dalam Call option adalah tidak terhad manakala risikonya terhad kepada premium yang dibayar. Strategi ini sesuai apabila anda yakin pergerakan harga menaik yang ketara dan mendadak akan berlaku. Ia sering digunakan sebelum laporan perolehan korporat atau peristiwa ekonomi berskala besar.

Greeks untuk Long Call:

Theta bagi Call option sentiasa bernilai negatif, dan ini bermakna nilai opsyen akan menyusut dari semasa ke semasa. Kadar penyusutan ini akan menjadi semakin pantas apabila tarikh luput semakin hampir, dan Call option akan kehilangan sebahagian besar nilainya dalam beberapa hari atau minggu terakhir.

Delta sentiasa bernilai positif, dan ini bermaksud nilai Call option akan meningkat apabila harga saham naik (dengan andaian volatiliti tidak berubah) dan akan berkurangan apabila harga saham jatuh. Apabila tarikh luput semakin hampir, Delta akan mengukuh, sekali gus menjadikan Call option lebih sensitif terhadap perubahan harga.

Vega ialah indikator positif. Jika volatiliti meningkat, Call option akan mendapat kesan positif, sebaliknya penurunan volatiliti akan menjejaskannya. Nilai Vega akan mencapai paras maksimum apabila aset berada berhampiran dengan strike price. Pada waktu ini, Call option paling sensitif terhadap IV.

Gamma, atau kadar perubahan Delta, adalah positif untuk Long Call dan mencapai nilai maksimum apabila harga saham menghampiri strike price. Ini bermakna Delta akan berubah dengan paling pantas apabila saham berada hampir dengan strike price.

2. Long Put (Beli Put)

Anda membeli Put jika anda jangkakan harga aset akan menurun.

Potensi keuntungan untuk strategi Long Put juga adalah tidak terhad (sehingga harga saham jatuh ke sifar), dan risikonya terhad kepada premium yang dibayar. Strategi ini sesuai apabila anda yakin penurunan harga yang ketara dan pantas akan berlaku. Ia sering digunakan sebelum laporan perolehan korporat dikeluarkan atau menjelang peristiwa makroekonomi penting.

Greeks untuk Long Put:

Theta bagi Put option sentiasa bernilai negatif. Ini bermakna nilai opsyen ini akan menyusut seiring pertambahan masa. Kadar penyusutan nilai ini semakin pantas apabila tarikh luput semakin hampir, dan Put option akan kehilangan sebahagian besar nilai dalam beberapa hari atau minggu terakhir.

Delta sentiasa bernilai negatif. Ini bermakna nilai Put option akan meningkat apabila harga saham jatuh (dengan andaian volatiliti tidak berubah) dan akan menyusut apabila nilainya meningkat. Semakin hampir tarikh luput, Delta akan mengukuh, sekaligus menjadikan Put option lebih sensitif terhadap perubahan harga.

Vega ialah indikator positif. Peningkatan volatiliti memberi kesan positif terhadap Put option, manakala volatiliti menurun pula akan menjejaskan nilainya. Nilai Vega akan mencapai paras maksimum apabila aset berada berhampiran strike price, sekaligus menjadikan Put option paling sensitif terhadap IV (Implied Volatility) pada waktu ini.

Gamma, atau kadar perubahan Delta, berada paras positif untuk Long Put dan mencapai paras maksimum apabila harga saham menghampiri strike price. Ini bermakna Delta akan berubah dengan paling cepat apabila saham berada hampir dengan strike price.

3. Covered Call (Terlindung)

Covered Call merupakan satu lagi strategi asas dalam opsyen. Sasaran strategi ini adalah untuk menjana pendapatan kecil, tetapi konsisten semasa memegang saham. Situasi yang sesuai untuk strategi ini adalah apabila anda tidak kisah untuk menjual saham anda pada harga tertentu, namun tidak tergesa-gesa untuk melakukannya.

Untuk menggunakan strategi ini, anda perlu memiliki sekurang-kurangnya 100 saham bagi aset tersebut, atau mulakan dengan membeli 100 saham jika anda masih belum memilikinya. Kemudian, anda menjual Call (dikenali sebagai Short Call) pada harga strike price yang anda tetapkan. Situasi ini bertentangan dengan membeli Call (Long Call), di mana dana akan dikreditkan ke akaun anda, bukannya didebitkan.

Jika harga saham melebihi strike price, posisi Call anda akan mengalami assignment, dan anda terpaksa menjual 100 saham yang anda miliki. Memandangkan secara idealnya, strike price adalah lebih tinggi daripada harga anda membeli saham, anda akan meraih keuntungan daripada saham tersebut, dan juga premium yang diterima hasil daripada penjualan Call tersebut.

Jika harga saham tidak melebihi strike price, anda tetap menerima premium (atau kredit) hasil daripada penjualan Call tersebut.

Anda boleh menjana “pendapatan” yang konsisten hasil daripada penjualan Call option, dengan mengulangi proses ini setiap bulan atau setiap beberapa bulan, bergantung kepada tempoh luput.

Greeks untuk Covered Call:

Theta sentiasa berada di paras positif untuk Short Call. Situasi ini berpotensi menguntungkan jika anda ingin membeli semula Call tersebut, kerana nilai opsyen akan menyusut seiring pertambahan masa. Premium yang dijana daripada strategi Covered Call datang daripada penyusutan nilai tersebut, iaitu nilai masa (time value) yang mewakili premium ekstrinsik.

Delta akan sentiasa positif. Ini bermakna strategi ini akan menjana keuntungan apabila harga saham meningkat (bukan sesuatu yang mengejutkan kerana strategi ini melibatkan pembelian 100 saham aset tersebut). Kadar pertumbuhan keuntungan akan menyusut apabila harga saham meningkat. Ini kerana Short Call option mula mengehadkan keuntungan daripada kenaikan harga saham.

Peningkatan dalam volatiliti boleh memberi kesan negatif kepada Short Call, memandangkan Vega sentiasa negatif. Tindakan menjual Covered Call ketika volatiliti tinggi boleh menjana keuntungan yang lebih besar, tetapi juga lebih berisiko. Jika anda ingin membeli semula Call tersebut, tahap volatiliti perlu lebih rendah berbanding ketika anda menjualnya.

Gamma (kadar perubahan Delta) ialah negatif. Ini bermakna Delta akan menurun apabila harga saham meningkat.

4. Strategi Cash-Secured Put (Menjual Put)

Opsyen Cash-Secured Put ialah satu lagi strategi asas. Sasarannya adalah untuk meraih pendapatan yang kecil, tetapi stabil, serta kemungkinan untuk membeli saham pada waktu tertentu. Ia boleh disamakan dengan Short Put, tetapi seringkali dipanggil Cash-Secured Put apabila trader memiliki wang tunai yang cukup untuk membeli 100 saham aset tersebut, berbanding berdagang menggunakan kredit margin.

Memandangkan Cash-Secured Put (atau Short Put) adalah bertentangan dengan membeli Long Put, anda tidak memiliki hak untuk menjual 100 saham pada strike price, sekiranya Put berada dalam keadaan in-the-money. Sebaliknya, anda mempunyai kewajipan atau obligasi untuk membeli 100 saham tersebut.

  • Jika harga saham lebih rendah daripada strike price ketika tarikh luput, Short Put akan dilaksanakan oleh pemiliknya, dan anda akan menerima assignment. Dalam situasi ini, anda perlu membeli 100 saham pada strike price dengan menggunakan wang tunai yang telah anda ketepikan (inilah sebab ia dinamakan “cash-secured”).
  • Jika pada tarikh luput, harga saham tidak jatuh di bawah strike price, anda tetap menerima premium (atau kredit) hasil daripada penjualan Put option. Jika sebelum ini anda pernah berdagang Long option, anda pasti tahu betapa mudahnya nilai opsyen tersebut menyusut apabila tarikh luput tiba. Dengan Short Put, apa yang berlaku adalah sebaliknya: anda memang mengharapkan Put option kehilangan nilai apabila tiba tarikh luput, untuk menerima premium.

Anda boleh meraih “pendapatan” yang konsisten dengan menjual Put option, dan mengulangi proses ini setiap bulan atau selang beberapa bulan, bergantung kepada tarikh luput. Jika anda menerima assignment pada waktu tertentu, kitaran tersebut tidak semestinya akan tamat di situ! Terdapat satu lagi strategi yang dipanggil “The Wheel”. Strategi ini menggabungkan penjualan Cash-Secured Puts dan Covered Calls untuk menghasilkan satu kitaran yang menjana pendapatan secara berterusan.

Greeks untuk Short Put:

  • Theta sentiasa positif untuk Short Put. Keadaan ini memberi kesan positif jika anda ingin membeli semula Put. Ini kerana opsyen tersebut akan kehilangan nilai seiring pertambahan masa. Inilah sumber premium untuk Short Put, memandangkan nilai masa (time value) mewakili premium ekstrinsik yang anda terima.
  • Delta sentiasa positif. Ini bermaksud strategi ini akan menjana keuntungan apabila harga saham meningkat. Kadar pertumbuhan keuntungan akan menjadi perlahan apabila Put semakin jauh daripada strike price (dalam keadaan out-of-the-money), kerana kemungkinan besar opsyen akan luput tanpa sebarang nilai dan anda akan menerima keseluruhan premium.
  • Peningkatan dalam volatiliti boleh memberi kesan negatif kepada Short Put, memandangkan Vega sentiasa positif. Tindakan menjual Cash-Secured Puts semasa volatiliti tinggi berpotensi memberi keuntungan lebih besar, tetapi dengan risiko lebih tinggi. Jika anda ingin membeli semula Put option, tahap volatiliti perlu lebih rendah berbanding ketika anda menjualnya.
  • Gamma (kadar perubahan Delta) ialah negatif. Ini bermaksud Delta akan menurun apabila harga saham menaik.

Tips untuk Trader Pemula dalam Menjual Opsyen

Walaupun strategi Covered Call dan Cash-Secured Put sering kali dianggap sebagai strategi yang “selamat” dan “konservatif”, trader baharu perlu memahami bahawa strategi tersebut melibatkan penjualan opsyen. Secara umumnya, ia perlu dielakkan semasa di peringkat awal dagangan opsyen.

Ini sebabnya:

  • Risiko Assignment dan Obligasi: Apabila anda menjual opsyen (sama ada Call atau Put), anda akan menerima obligasi/kewajipan, bukan sekadar hak. Risiko assignment (dipaksa jual atau beli saham) mengenakan syarat margin yang rumit. Jadi, bagi trader pemula, tekanan kewangan yang timbul akibat obligasi tidak dijangka ini boleh menjadi rumit dan sukar dikendalikan.
  • Keberkesanan Margin & Modal: Kedua-dua strategi memerlukan modal yang besar. Anda perlu memiliki 100 saham terlebih dahulu untuk Covered Call, manakala untuk Cash-Secured Put pula, anda perlu menyediakan wang tunai yang mencukupi untuk membeli 100 unit saham. Modal yang besar ini akan terikat dan tidak boleh digunakan untuk strategi lain yang lebih mudah dan risiko lebih terhad (seperti Long Call atau Long Put) yang hanya menumpukan kepada memahami arah pasaran dan masa yang sesuai untuk berdagang.
  • Impak Vega Negatif ke atas Opsyen Dijual: Apabila anda menjual premium, posisi dagangan anda mempunyai Vega Negatif. Ini bermakna Implied Volatility yang melonjak secara tiba-tiba dan mengejut (sering berlaku apabila pasaran jatuh merudum atau susulan berita buruk) berpotensi menyebabkan opsyen yang dijual mengalami kerugian serta-merta. Situasi ini boleh mencetuskan jangkaan kerugian yang mendadak dan mengejutkan bagi trader pemula.

Kesimpulan: Beli opsyen (Long Call atau Long Put) dahulu untuk memahami bagaimana metrik Greeks mempengaruhi nilai opsyen, iaitu situasi di mana risiko telah dihadkan dan tiada tekanan daripada margin call. Strategi melibatkan jualan premium lebih sesuai digunakan apabila anda sudah mampu mengawal margin dan risiko assignment dengan baik.