Pembelajaran

Feb 19

9 Bacaan min

Kalendar bayangan: Peristiwa yang tidak disenaraikan dalam kalendar ekonomi

Apabila kita melihat kalendar kewangan seseorang trader, biasanya yang tertera adalah pengumuman data makroekonomi, keputusan bank pusat, laporan pendapatan syarikat, dan cuti perayaan seperti Krismas atau Tahun Baru. Kita pun berfikir: semua ini peristiwa yang boleh mempengaruhi pasaran. Namun, secara praktikal, pasaran bergerak dengan cara yang pelik, seolah-olah ada pihak yang terlupa memberitahu trader berita penting. Pada ketika itu, volatiliti meningkat, likuiditi merosot dan lonjakan dalam pasaran sukar dijelaskan.

Jawapan sebenar kepada fenomena ini terletak pada kewujudan “kalendar bayangan” — beberapa peristiwa yang sangat mempengaruhi pergerakan pasaran tetapi sering berlaku di belakang tabir bagi kebanyakan trader runcit. Terdapat banyak peristiwa sebegitu, tetapi kita akan melihat faktor “tersembunyi” utama yang perlu diketahui oleh sesiapa sahaja yang menekan butang “Beli” atau “Jual”.

1. Tempoh blackout: apabila buyback terhenti

Salah satu punca likuiditi berkurangan dan volatiliti meningkat, yang sering dipandang ringan ialah tempoh blackout syarikat korporat. Beberapa minggu sebelum laporan suku tahunan diterbitkan, syarikat dilarang membeli semula (buyback) saham mereka di pasaran terbuka. Ini adalah peraturan pengawalseliaan yang bertujuan untuk menghalang manipulasi.

Kedengaran membosankan dan terlalu teknikal, bukan? Sebenarnya ia ibarat bom jangka untuk pasaran. Buyback korporat telah menjadi salah satu sumber pemintaan terbesar bagi saham sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Syarikat S&P 500 membeli semula saham bernilai berbilion dolar setiap tahun. Aliran tunai ini memberi impak positif kepada indeks, meredakan drawdown, dan menambah likuiditi.

Kemudian ia diikuti oleh fasa blackout. Ia biasanya bermula 3–4 minggu sebelum laporan diterbitkan dan berlanjutan sehingga beberapa hari selepas itu. Kesannya, pembeli paling berpengaruh keluar dari pasaran untuk tempoh sebulan. Hasilnya? volatiliti saham, dan seterusnya indeks saham menjadi lebih tinggi, kejatuhan berlaku lebih ketara, dan lonjakan (rebound) menjadi lebih lemah. Situasi ini lebih ketara di penghujung suku, apabila ratusan syarikat memasuki tempoh blackout serentak. Januari, April, Julai, dan Oktober sering menjadi bulan di mana pasaran berpotensi “crash” secara tiba-tiba, tanpa sebarang faktor makroekonomi yang jelas. Semua orang sibuk mengikuti berita, mencari faktor utama, sedangkan hakikatnya pembeli tetap yang menyumbang kepada 20–30% purata volume harian sudah hilang daripada pasaran.

Bagi trader, ini bermakna satu perkara mudah: semasa tempoh blackout, anda perlu lebih berhati-hati dengan posisi beli (long) dan bersedia menghadapi drawdown yang lebih agresif daripada biasa. Ia juga waktu yang sesuai untuk mereka yang berdagang dalam volatiliti — VIX biasanya meningkat sepanjang tempoh ini.

2. Musim perayaan yang berimpak tinggi

Kita sememangnya maklum tentang Thanksgiving, Krismas, dan Tahun Baru. Pada hari-hari ini, pasaran sama ada ditutup atau dibuka dalam waktu singkat, dan tiada siapa terkejut apabila volume dagangan rendah. Namun, ada juga hari perayaan yang tidak tercatat dalam kalendar rasmi Amerika Syarikat tetapi memberi impak besar terhadap aset tertentu.

Tahun Baru Cina di China ialah contoh klasik untuk keadaan ini. Perayaan ini bukan setakat satu hari sahaja, tetapi boleh berlarutan seminggu (kadang-kala dua minggu) apabila ekonomi negara China secara praktikalnya terhenti. Kilang-kilang ditutup, logistik lumpuh, dan trader serta pelabur bercuti. Tetapi, apa kena-mengena keadaan ini dengan pasaran kewangan?

Apa yang berlaku sebenarnya: China merupakan pengguna terbesar logam industri. Kuprum, bijih besi, nikel, aluminium, malah emas — sebahagian besar permintaan global datang dari sini. Apabila Tahun Baru Cina menjelma, permintaan seakan lenyap. Likuiditi dalam pasaran logam berkurangan, dan harga berpotensi bergerak secara tidak logik semata-mata kerana tiada pembeli. Mengapa ia berlaku?

  • Kekeringan likuiditi: Dana Asia berskala besar sedang bercuti. Pasaran menjadi lebih “kering”. Dalam pasaran yang kering ini, order yang kecil daripada dana lindung nilai di London berpotensi menyebabkan harga bergerak 1–2% dalam seminit. Inilah musim “spikes” and “helicopters” yang boleh menggugat posisi anda.
  • Permintaan fizikal: Di China, memberi emas sebagai hadiah dianggap sebagai adat. Permintaan terhadap emas biasanya meningkat sebelum cuti perayaan, kemudian “terhenti” sepanjang tempoh tersebut.

Perhatikan bagaimana volatiliti dalam pasaran logam meningkat baru-baru ini, terutamanya dalam perak, menjelang Tahun Baru Cina 2026. Apa yang berlaku pada harga sebelum itu? Atau lihat kembali keadan harga pasaran logam pada tahun 2025 sebelum Tahun Baru Cina? Bagi trader yang berdagang logam, memandang ringan Tahun Baru Cina boleh diibaratkan keluar dari rumah ketika musim sejuk tanpa memakai kot.

Satu lagi contoh ialah bulan Ramadan di Timur Tengah. Pasaran minyak sering menunjukkan pergerakan luar biasa sepanjang tempoh ini, terutamanya jika pemain utama serantau mengurangkan aktiviti mereka. Musim cuti musim panas di Eropah (terutamanya Ogos) juga merupakan tempoh di mana likuiditi aset Eropah merosot dan volatiliti meningkat.

3. Option tamat tempoh (Jumaat yang menggila)

Setiap hari Jumaat yang ketiga dalam setiap bulan, option (opsyen) bulanan bagi indeks dan saham syarikat akan tamat tempoh. Namun, kejaiban sebenar berlaku pada tempoh luput suku tahunan, apabila beberapa jenis aset derivatif akan bertembung serentak.

Bayangkan: berbilion dolar dalam posisi option menghampiri tarikh luput. Pembuat pasaran (market makers) yang menjual option ini akan menyesuaikan strategi lindung nilai sepanjang minggu sehingga menjelang tamat tempoh. Jika harga saham menghampiri harga strike utama dengan open interest yang besar, pertarungan sebenar pun bermula. Pembeli put option mahukan harga jatuh di bawah harga strike, manakala pemegang call option mahu harga menembusi paras tersebut.

Ketika waktu-waktu terakhir sebelum tamat tempoh pada hari Jumaat, fenomena yang dikenali sebagai “pinning” biasanya akan berlaku — harga seolah-olah melekat pada harga strike utama. Ini bukan satu kebetulan. Ia berpunca daripada tindakan aktif pembuat pasaran yang berdagang aset pendasar (underlying) untuk memaksimumkan bilangan option yang akan luput dalam keadaan out of the money.

Bagaimana ia kelihatan pada carta:

Harga boleh berulang kali menghampiri “dinding” yang tidak kelihatan sepanjang hari. Anda tetapkan paras, tunggu breakout berlaku, tetapi harga kembali semula seakan sudah melekat. Situasi ini berlaku apabila institusi bank besar melindungi nilai posisi mereka, dan ingin mengekalkan pasaran pada paras yang mereka mahukan..

Lebih berisiko: Triple Witching jatuh pada hari Jumaat ketiga bulan Mac, Jun, September, dan Disember. Pada hari-hari tersebut, volatiliti pada waktu-waktu terakhir dagangan di New York boleh diibaratkan seperti roller coaster.

4. Dasar tarif atau pembatalan duti secara mengejut

Dunia perdagangan moden semakin hilang sifat mekanikal yang boleh diramal dan semakin menjadi huru-hara. Faktor ini menjadi lebih ketara dengan kembalinya Trump sebagai Presiden AS: tarif, perang dagangan, sekatan, keputusan mahkamah diterbalikan secara tiba-tiba — semua peristiwa yang tidak tercatat dalam kalendar ekonomi mampu mengubah pasaran 180 darjah dalam beberapa minit sahaja. Situasi ini paling jelas apabila mahkamah membatalkan atau menggantung tarif.

Contoh 1: Mahkamah membatalkan sebahagian duti yang sebelum ini dikenakan terhadap kuprum — pasaran logam memberi reaksi serta-merta, walaupun berita ini tidak tercatat dalam kalendar ekonomi kebanyakan trader.

Contoh 2: 9 April 2025 – Trump mengesahkan penangguhan 90 hari bagi tarif individu ke atas kebanyakan negara. Hasilnya, indeks mencatatkan pertumbuhan tertinggi sejak 2008. Penting: pada 20 Februari 2026, pasaran menumpukan perhatian kepada Mahkamah Agung di AS, yang akan membuat keputusan terhadap kuasa darurat presiden AS untuk mengenakan tarif secara meluas. Walaupun peristiwa ini tidak dimasukkan dalam kalendar ekonomi, pelabur menganggap ia berpotensi mempengaruhi pasaran dengan ketara: kebanyakan peserta pasaran menjangkakan keputusan mahkamah tidak memihak kepada pentadbiran Presiden. Selain itu, sekiranya mahkamah membatalkan sebahagian tarif, ia berpotensi memberi tekanan hebat ke atas indeks dolar dan menyuntik momentum kepada indeks saham.

5. Mengimbangi semula indeks dan dana

Di penghujung setiap bulan (terutamanya penghujung setiap suku tahunan), dana persaraan dan pelaburan berskala besar akan menyusun semula portfolio mereka. Dana tersebut mempunyai peraturan yang ketat: sebagai contoh, portfolio mesti mengekalkan 60% saham dan 40% bon. Jika saham naik mendadak pada bulan itu sehingga pegangan menjadi 65%, dana itu terpaksa menjual lebihan 5% pegangan saham dan membeli bon untuk kekal mematuhi peraturan.

Mengapa ia penting: Dalam tempoh 2–3 hari bekerja terakhir dalam sesebuah bulan, pasaran sering bergerak “bertentangan logik.” Berita pasaran positif, ekonomi berkembang, namun pasaran saham jatuh. Mengapa? Puncanya kerana sistem automatik dana terbesar di dunia melaksanakan sell order serentak untuk mengimbangi akaun mereka. Pergerakan paling ketara berlaku pada waktu-waktu terakhir dagangan hari terakhir suku tahunan — dan dikenali sebagai “marking the close,” apabila dana cuba mengunci harga yang diperlukan dalam laporan kewangan. Tahap volatiliti boleh meningkat mendadak pada waktu ini.

Satu lagi faktor tersembunyi ialah pengimbangan semula secara berkala bagi indeks utama dan ETF. Ia merupakan peristiwa teknikal yang sering diabaikan oleh kebanyakan trader, tetapi mampu mencetuskan pergerakan besar pada saham syarikat.

Apabila sesebuah syarikat dimasukkan ke dalam S&P 500, dana indeks wajib membeli saham syarikat itu, dan dalam jumlah yang besar. Permintaan ini bersifat “terpaksa” dan tertumpu, lazimnya dalam satu hari atau minggu dagangan. Kesannya? Harga saham boleh melonjak sehingga 5–10% hanya semata-mata atas faktor teknikal, tanpa sebarang perubahan dalam fundamental.

Situasi sebaliknya berlaku apabila syarikat dikeluarkan daripada indeks. Tesla, misalnya beberapa kali hampir digugurkan daripada pelbagai indeks ESG, dan setiap kali ia berlaku, harga saham syarikat tersebut berdepan tekanan. Dana yang disusun mengikut komposisi indeks tersebut terpaksa menjual, seterusnya mewujudkan lonjakan bekalan (supply) yang mendadak.

6. Risiko geopolitik luar daripada kalendar

Akhir sekali, faktor yang paling sukar dijangka ialah peristiwa geopolitik. Ia tidak tercatat dalam kalendar tetapi mampu menghuru-harakan pasaran dalam sekelip mata. Konflik ketenteraan, serangan pengganas, krisis politik, dan peletakan jawatan oleh pemimpin — semuanya boleh mencetuskan gelombang volatiliti yang agak mustahil dijangka lebih awal.

Namun, masih terdapat pattern untuk situasi sebegini. Sebagai contoh, tempoh pilihan raya di negara besar lazimnya disertai peningkatan volatiliti beberapa minggu sebelum pengundian, dan pergerakan mendadak sejurus selepas keputusan diumumkan. Referendum, perubahan kerajaan, krisis perlembagaan — semuanya perlu sentiasa dipantau.

Salah satu contoh terkini ialah kemenangan parti Perdana Menteri Jepun dalam pilihan raya parlimen. Parti tersebut memperoleh majoriti, seterusnya membolehkannya melaksanakan dasar perluasan yang telah dirancang. Indeks Jepun melonjak tinggi selepas keputusan diumumkan dan terus meningkat selama beberapa hari.

Selain itu, trader juga perlu memberi perhatian kepada mesyuarat organisasi antarabangsa seperti G7, G20, dan OPEC+. Mesyuarat sebegini sering berlangsung tanpa agenda umum, namun keputusan yang dibuat boleh memberi kesan besar kepada pasaran minyak, mata wang dan aset komoditi.

Bagaimana cara memanfaatkan kalendar bayangan?

  • Pertama sekali, mulakan pemantauan. Buat senarai tarikh berasingan: tempoh luput suku tahunan untuk option, tempoh blackout syarikat utama dalam portfolio anda, cuti perayaan utama di Asia, tarikh pengimbangan semula indeks.
  • Kedua, sesuaikan strategi dagangan anda. Semasa tempoh volatiliti rendah, elakkan entri agresif, lebarkan stop-loss anda, dan kecilkan saiz posisi. Sebelum tarikh luput option utama, bersedia menghadapi pergerakan mengejut dan jangan terkejut jika harga “terkunci” pada paras nombor genap disebabkan faktor teknikal.
  • Ketiga, gunakan panduan ini mencari peluang. Jika anda tahu syarikat mana yang akan membuat buyback selepas tempoh blackout berakhir, ini mungkin masa yang sesuai untuk anda membuka posisi beli sebelum aktiviti belian semula diteruskan.

Kesimpulan

Kalendar bayangan bukanlah satu teori konspirasi. Ia sekadar beberapa peristiwa yang mempengaruhi pasaran melalui aliran likuiditi serta permintaan dan bekalan, tetapi di luar skop sumber maklumat rasmi. Trader yang mengambil kira faktor-faktor ini memiliki kelebihan besar berbanding yang lain.

Pasaran sebenarnya tidak pernah benar-benar bergerak secara rawak. Di sebalik setiap pergerakan terdapat aliran tunai, dan di sebalik pasaran yang suram terdapat kekurangan peserta dalam pasaran. Jika anda mampu mengenal pasti apa yang sering terlepas daripada perhatian kebanyakan trader, anda mampu membawa dagangan anda ke tahap lebih tinggi.